PERLU menari babitkan tiga lagu dalam filem muzikal Sinaran.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

sudirman@ hmetro.com.my

Filem Suamiku Encik Perfect 10 adalah filem terakhir Lisa Surihani, 29, sebelum berehat panjang selepas disahkan hamil.

Tahun ini, Lisa kembali dan bakal menggegarkan panggung menerusi filem Sinaran.

Menariknya, di dalam filem ini Lisa melakonkan watak Sheila dan memerlukannya menari.

“Memandangkan ini filem muzikal, jadi saya perlu menari. Walaupun saya ada asas dalam tarian balet, tapi sudah 10 tahun saya tinggalkan. Boleh dikatakan skil itu sudah ‘berkarat’.

“Jadi dua minggu sebelum memulakan penggambaran, saya bersama pelakon lain diberikan latihan asas. Jurulatih tarian yang disediakan cukup terkenal di Singapura,” katanya.

Kata Lisa, dia menari membabitkan tiga lagu iaitu Sinaran, Warna dan Di Dalam Emosi Ini.

Membintangi filem ini dirasakan cukup bermakna buat pemenang Pelakon Filem Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2015 ini.

“Selepas filem Ombak Rindu, saya kembali bekerjasama dengan Osman Ali. Satu perkara saya suka berlakon di bawah arahannya kerana dia menyediakan kelas lakonan kepada semua pelakon sebelum memulakan penggambaran.

“Dia mengambil berat semua perkara dalam lakonan dan bukannya lontaran dialog semata-mata. Walaupun menjalani penggambaran sepenuhnya di Singapura selama 44 hari, saya tetap seronok. Gabungan pelakon dari tiga negara antara elemen menarik filem ini,” katanya.

Kemunculan semula Lisa di layar lebar turut membawa satu harapan tinggi. Tentunya dia mahukan filem muzikal ini mampu menarik peminat ke pawagam.

“Saya berharap filem ini boleh berjaya seperti Polis Evo. Saya boleh beri jaminan, filem ini tak mengecewakan. Malah, sepanjang bergelar pelakon, dua filem yang saya mahu penonton beri tumpuan ialah Dendam Orang Mati dan Sinaran.

“Watak saya dalam filem ini sangat berbeza. Sebab itu saya berani berkata begitu,” katanya.

Cuba ‘cool’ dengan Sheila Majid

Lisa juga serasi berganding dengan pelakon dari Indonesia, Evan Sanders.

Menurutnya, Evan yang sangat berbakat dan berpengalaman itu banyak memudahkannya.

“Selain berlakon, dia juga penyanyi. Jadi tak sukar untuknya menghayati setiap babak. Pendek kata, kami cepat serasi,” katanya.

Sementara itu, bergandingan dengan Datuk Sheila Majid adalah saat yang mengujakan Lisa meski babak antara mereka tidak banyak.

“Saya memang peminat fanatik Sheila. Apabila mendapat tahu dia terbabit dalam filem ini, saya tak dapat sembunyikan perasaan seronok dan teruja itu. Tetapi apabila dia berada di depan mata, saya perlu lebih profesional dan ‘cool’.

“Dia tidak menunjukkan sikap megah walaupun sudah bertaraf legenda, sebaliknya dia sangat merendah diri. Itu membuatkan saya kagum dengannya,” katanya.

Menurut Lisa, dia menggemari lagu Sheila berjudul Gerimis Semalam.

“Setiap kali menyanyi atau mendengar lagu itu, saya pasti teringat arwah ayah. Lagu itu cukup bermakna buat diri saya,” katanya.

Selain Lisa, filem arahan Osman Ali ini turut menampilkan pelakon seperti Izara Aisyah, Syarif Sleeq dan Nadiah M Din.

Filem terbitan Sinaran Pictures dan Nuansa Sdn Bhd ini bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 26 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:02 AM