Antara lori yang terbabit kemalangan di Kilometer 273.5, LPT2 dekat Cheneh, Kemaman, awal pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Oleh Rosli
Ilhamam@hmetro.com.my

Kemaman: Empat lelaki nyaris maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori selepas tayar satu daripada kenderaan berat itu tercabut dalam kejadian di Kilometer 273.5 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Cheneh, Kemaman, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, pemandu sebuah lori muatan papan memberhentikan kenderaan di sebelah kiri jalan selepas tayar belakang kenderaan dipandunya tercabut.

Melihat keadaan itu, pemandu sebuah lagi lori membawa muatan serupa di laluan sebelah kanan mengambil tindakan mengejut dengan masuk ke laluan kiri sekali gus menyebabkan pemandu lori tangki di belakangnya gagal membrek lalu merempuh kedua-dua lori terbabit.

Akibat rempuhan itu, satu daripada lori berkenaan terbalik menyebabkan papan dibawa berselerekan di atas jalan manakala kepala lori tangki remuk teruk.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, akibat kemalangan itu, pemandu lori tangki, Damauhuri Dawani, 46, dari Kampung Gebuk Mantin, Negeri Sembilan, patah kaki kanan manakala pemandu dan kelindan dua lagi lori cedera.

"Semua kenderaan itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 6:35 PM