Abdul Latiff didenda RM2,800. FOTO Amran Hamid
Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my


Alor Setar: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,800 terhadap peniaga kedai runcit atas kesalahan memiliki 151 paket pelbagai rokok seludup, empat tahun lalu.

Terdahulu, tertuduh, Abdul Latiff Abdul Kadar mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Latiff didakwa memiliki 151 peket pelbagai rokok seludup bernilai RM276.98 di premis Taufik Store, Jalan Teluk Wanjah, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 17 November 2011 lalu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Suriati Yahaya.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii) akta sama.

Nur Faizah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,800 terhadap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 12:42 PM