Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Guru lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menerbitkan kenyataan menghasut melalui akaun Facebooknya yang menghina penganut Hindu ketika Thaipusam, tahun lalu.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Hidayat Mohamed, 37, selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di TH45A, Ariza Garden Vila, Taman Raintree, Batu Caves, jam 11.13 pagi, pada 17 Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan dihukum mengikut Seksyen 4(1) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 4:15 PM