Oleh Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Kakitangan kerajaan disamun di dalam rumahnya di kuarters penjawat awam Presint 5, Putrajaya, 5.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, mangsa berusia 26 tahun tiba ke rumahnya di tingkat 15 apartment berkenaan serta mendapati pintu jeriji masih bermangga namun, mendapati pintu kayu rosak serta tidak berkunci.

Menurutnya, apabila mangsa masuk ke dalam rumah, dia diterkam dari belakang oleh suspek lelaki dan tangannya kemudian diikat di belakang menggunakan wayar.

"Suspek menyuruh mangsa diam, mengacukan pisau panjang dan menyumbat mulut serta mengikatnya menggunakan kain tudung," katanya ketika dihubungi.

Rosly berkata, suspek menyelongkar rumah mangsa kira-kira 10 minit serta melarikan pelbagai barangan seperti wang tunai dan barang kemas.

Katanya, selepas suspek beredar, rakan serumah mangsa pulang ke rumah dan membantu melepaskan ikatan serta melaporkan kepada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 4:07 PM