BERI peluang kepada anak bermain di luar dan mendapat cahaya matahari yang diperlukan tubuh.
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my

Si ibu mula berkaca mata sejak di sekolah menengah. Bapanya juga berkaca mata seawal usia 10 tahun. Lazimnya ramai menyifatkan ia bakal diwarisi si anak, sama seperti penyakit keturunan lain, hinggalah membawa kepada generasi seterusnya.

Jika dilihat pada kanak-kanak zaman ini, makin ramai yang berkaca mata sejak di alam prasekolah berikutan mula mengalami masalah penglihatan khususnya rabun jauh dan silau yang sama seperti dialami ibu atau bapanya.

Menurut Pengarah Perubatan dan Perunding Oftalmologi Pediatrik Pusat Pakar Mata Antarabangsa (International Specialist Eye Centre - ISEC), Dr Choong Yee Fong, dianggarkan 80 peratus kanak-kanak hari ini berdepan risiko tinggi mengalami rabun jauh atau myopia menjelang usia remaja.

“Kita sebagai ibu bapa moden bakal berdepan dengan epidemik seperti ini. Jika dulu ia bukan satu masalah atau kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, tetapi hari ini rabun jauh mula dialami kanak-kanak sekecil usia tiga tahun.

“Justeru, ramai yang menyalahkan faktor genetik kerana diwarisi daripada ibu dan bapa, selain kecenderungan menghabiskan masa di depan skrin telefon pintar, tablet, televisyen atau komputer.

“Myopia sebenarnya masalah refraktif yang biasa berlaku. Ia mudah dirawat dengan kanta sentuh dan cermin mata khas serta tidak sepenuhnya berpunca daripada keturunan,” katanya.

Bagaimanapun, punca sebenar myopia ini masih misteri dan dalam proses kajian seluruh dunia.

Ada pakar mendapati sesetengah kes myopia bertambah buruk selepas menggunakan kaca mata atau kanta lekap khas yang sepatutnya membantu memperbaiki masalah itu.

Ada kajian lain pula mendapati faktor keletihan pada mata terutama selepas membaca buku pada jarak dekat atau belajar terlalu lama membuatkan keadaan myopia seseorang kanak-kanak itu makin meningkat.

“Tiada jawapan sebenar untuk masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak ini. Sebaiknya lakukan sesuatu perkara dalam kadar sederhana.

“Contohnya jangan membaca pada jarak dekat dalam tempoh lama, beri mata berehat beberapa minit selepas 30 minit hingga sejam mengulang kaji pelajaran dan jangan paksa mata melihat objek yang kabur walaupun pada jarak dekat,” tambah Dr Choong.

Antara saranan terbaik Dr Choong adalah memberi peluang kepada anak bermain di luar dan mendapat cahaya matahari yang diperlukan tubuh.

Beberapa kajian terkini mendapati kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa bermain di luar dapat membantu mengatasi atau mengurangkan masalah myopia ini.

Pada Ogos 2008, pengkaji di Australia menerbitkan keputusan Kajian Myopia Sydney yang dilakukan ke atas 1,765 kanak-kanak berusia enam tahun dan 2,367 kanak-kanak berumur 12 tahun yang diambil secara rawak dari 51 sekolah selama dua tahun.

Kanak-kanak 12 tahun yang lebih banyak menghabiskan masa di luar didapati kurang mengalami myopia berbanding kumpulan yang jarang melakukan aktiviti luar.

Pada Mei 2013 pula, pakar di Taiwan menerbitkan keputusan yang mengkaji impak dan risiko myopia terhadap aktiviti luar kelas ketika masa rehat dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

Pelajar berusia tujuh hingga 11 tahun daripada pelbagai latar belakang dan etnik dibahagikan kepada dua kumpulan.

Seramai 333 pelajar daripada kumpulan pertama melakukan pelbagai aktiviti luar kelas ketika waktu rehat (ROC) sementara 238 daripada kumpulan kedua tidak terbabit

dengan aktiviti seperti itu dan hanya menghabiskan masa rehat dalam bangunan sama ada dalam kelas atau di kantin.

Selepas setahun program kajian itu berlangsung, pelajar kumpulan ROC mencatatkan jumlah kes baru myopia terendah berbanding pelajar dalam kumpulan kedua.

“Makin banyak kajian dilakukan ke atas kanak-kanak bagi melihat kesan aktiviti luar rumah pada tahap kesihatan penglihatan mereka.

“Apabila seseorang kanak-kanak itu mengalami myopia, ia tidak boleh dirawat dan tidak akan sembuh seperti penyakit biasa. Namun, ia boleh dikurangkan dengan mengambil beberapa langkah pengawasan dan bantuan misalnya melakukan aktiviti luar seperti ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, kanak-kanak berisiko tinggi terdedah dengan selaran UV pada bahagian mata jika terlalu kerap bermain di luar.

“Ibu bapa perlu memberi perhatian khusus kepada perkara ini. Sinaran UV juga antara punca berlakunya masalah penglihatan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

“Sebaik-baiknya pantau atau ajar si kecil melindungi diri daripada terik matahari selepas satu ke dua jam bermain di luar. Boleh juga menyapu losen tabir suria, tetapi ia tidak mampu melindungi bahagian mata dan sama sekali tidak boleh disapu di kawasan mata kerana boleh menyebabkan kerengsaan,” katanya.

Pilihan lain adalah meminta anak memakai kaca mata hitam yang lengkap dengan perlindungan matahari dan penapis UV. Makin banyak yang fleksibel di pasaran, jadi ia tidak membebankan kanak-kanak apabila memakainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:00 AM