PEMAIN Kebangsaan meraikan gol Azwar Rahman. FOTO Farizul Hafiz Awang
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuantan: Skuad Projek 2016 sekadar seri 2-2 ketika bertemu Jepun pada perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara menduduki tangga kedua kumpulan dan bakal bertemu Korea Selatan pada perlawanan suku akhir, Khamis ini.

Jepun bermula garang pada 10 minit pertama permainan apabila memperoleh dua pukulan sudut penalti, namun mujur mereka gagal menyempurnakan kedua-dua peluang itu dengan baik.

Bagaimanapun skuad negara kembali garang apabila memperoleh gol pertama hasil jaringan padang penyerang, Muhd Azwar Abd Rahman pada minit ke-15 yang menerima hantaran cantik daripada Muhd Haziq Samsul.

Malaysia terus mempamer corak permainan menyerang dan hasilnya dihadiahkan tiga pukulan sudut penalti berturut-turut pada minit ke-18, 20 dan 21 tetapi mereka gagal menyempurnakan kesemua peluang terbaik itu.

Bersambung babak kedua, Jepun akhirnya memperoleh gol yang dinanti-nantikan selepas Miyu Tanimitsu tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-49.

Skuad negara berpeluang untuk kembali di depan selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-55 tetapi tolakan Shahril Saabah jauh tersasar melepasi palang gol lawan.

Haziq akhirnya meraih gol kedua untuk skuad negara pada minit ke-66 hasil jaringan padang tetapi Shota Yamada kembali menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-69.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 10:05 PM