Ain Nadiah mendapat ciuman tahniah dari ibu, Roslina Talib dan bapanya, Jamal Hurri Jalaludin selepas mendapat 5A dalam UPSR. FOTO Yahya Zainuddin
Oleh Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


Ipoh: Kecacatan mata kiri akibat penyakit katarak tidak menghalang Calon Berkeperluan Khas (CBK), Ain Nadiah Jamal Hurri dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Rambutan, dekat sini untuk memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ain Nadiah,12, dikesan mempunyai masalah penglihatan ketika berusia 6 tahun oleh guru pra sekolahnya sebelum terpaksa membuat pembedahan tiga bulan kemudian.

Dia kini mempunyai jarak bacaan 11 sentimeter (sm) walaupun matanya sudah dibedah dan memakai cermin mata.

Ain Nadiah berkata, dia mengalami kesukaran untuk membaca dan perlu mengulangkaji di bawah cahaya lampu.

"Saya mengambil masa selama empat jam sehari mengulangkaji pelajaran di rumah dan sentiasa ditemani ibu.

"Setiap hari saya akan mengaji Al-Quran selama satu jam bersama ibu mengikut masa yang bersesuaian dan mungkin berkat daripada itu hati saya menjadi tenang dan penglihatan dirasakan menjadi cerah ketika mengulangkaji," katanya ketika ditemui selepas mengambil keputusan UPSR, di sekolahnya hari ini.

Katanya, dia paling meminati subjek Bahasa Inggeris dan bercita-cita mahu menjadi pensyarah dalam bidang Sains.

Pix 1: AIN NADIAH...bersama ibu bapanya menunjukkan keputusan cemerlangnya dalam UPSR yang mendapat 5A.

Tamat//26

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 2:20 PM