FATIN ketika menewaskan pemanah FIlipina dalam acara compound di Sukan SEA ke-28 Singapura.

Kuala Lumpur: Pemanah negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh gembira acara compound semakin mendapat pengiktirafan seperti diterima pemanah recurve walaupun tidak dipertandingkan pada temasya Olimpik.

Ini terbukti apabila pemanah berusia 24 tahun itu semalam dinobatkan Olimpian Wanita 2015, menewaskan cabaran atlet gimmastik Farah Ann Abdul Hadi dan Aaliyah Yoong Hanifah daripada sukan luncur air.

“Ramai yang tidak mengetahui compound tiada dalam senarai acara di Olimpik. Namun kami mempunyai sasaran tersendiri seperti Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan Komanwel selain siri Piala Dunia.

“Bagi saya tahap pemanah recurve dan compound sama cuma kami tidak banyak menyertai kejohanan luar negara,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut Fatin Nurfatehah, semuanya bakal berubah tahun depan apabila acara compound turut tersenarai dalam program Sukan SEA 2017 sekali gus membuka peluang untuk mereka mendapat pendedahan lebih banyak di luar negara.

“Malah menjelang Olimpik 2024 atau 2028, compound dijangka dipertandingkan kerana badan dunia, FITA (Persekutuan Memanah Antarabangsa) sedang berusaha untuk menyenaraikannya," katanya.

Mengenai kejayaannya terpilih Olimpian Wanita 2015, dia berkata memang tidak jangka memenanginya kerana saingan cukup hebat.

Penilaian dilakukan berdasarkan prestasi cemerlangnya meraih tiga emas Sukan SEA 2015 Singapura dalam acara individu, berpasukan dan campuran namun dia turut cemerlang apabila menjuarai siri Piala Dunia menerusi acara berpasukan awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 8:38 AM