KADAR penembusan takaful di Malaysia masih rendah.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) mengunjurkan polisi takaful di Malaysia mampu mencatatkan kadar lapan juta penembusan daripada jumlah populasi rakyat di negara ini menjelang 2020 berbanding 4.5 juta ketika ini bersandarkan kepada pertumbuhan kukuh industri terbabit walaupun berdepan situasi ekonomi mencabar.

Industri takaful mencatatkan pertumbuhan jumlah aset secara purata RM2 bilion setahun sejak 2009 dan setakat tahun lalu, industri perlindungan patuh syariah berkenaan merekodkan jumlah aset berjumlah RM23 bilion bagi pasaran Malaysia saja.

Pengerusinya, Ahmad Rizlan Azman berkata, prestasi industri takaful tempatan menunjukkan reaksi positif bukan saja di pasaran tempatan, malah berjaya menerajui pasaran ASEAN sebanyak 76 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, penguasaan pasaran antara takaful dan insurans konvensional di negara ini masing-masing adalah 13 dan 87 peratus yang menunjukkan penerimaan takaful dalam kalangan pengguna tempatan masih rendah.

“Walaupun dari segi nisbah penguasaan pasaran industri takaful lebih rendah berbanding konvensional, tetapi ia mencatatkan pertumbuhan pantas menerusi peningkatan sumbangan bersih 12.4 peratus kadar peningkatan tahunan (CAGR) berbanding konvensional 7.81 peratus antara 2009 hingga 2014.

“Antara cabaran industri takaful di Malaysia adalah kesedaran pengguna kepada produk takaful yang masih rendah dan kita perlu meningkatkan penguasaan pasaran pada masa depan,” katanya, di sini.

Syarikat audit antarabangsa, Ernst & Young (EY) menjangkakan industri takaful Malaysia mampu berkembang pada kadar 14 peratus penguasaan pasarannya akhir tahun ini berbanding 13 peratus tahun lalu bersandarkan prestasi pasaran yang positif ditampilkan oleh industri berkenaan dari tahun ke tahun.

Malah, dalam laporan dikeluarkan hasil kerjasama antara EY dan MTA, menunjukkan rantau ASEAN menjadi penyumbang kedua terbesar dalam industri takaful global sebanyak 27 peratus dan Arab Saudi menerajui pasaran dengan rekod 55 peratus, tahun lalu.

Menurut syarikat audit berkenaan, industri takaful mampu berkembang lebih pantas di negara ini dan juga di peringkat serantau dipacu oleh pengenalan produk lebih kompetitif pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:04 AM