Pemain Malaysia Muhammad Haziq Samsul (kanan) membuat percubaan ke arah gol India perlawanan Liga Hoki Remaja Asia 2015 di Kuantan. - Foto ARIZUL HAFIZ AWANG
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuantan: Skuad Projek 2016 gagal meneruskan rentak kemenangan saingan hoki Piala Remaja Asia apabila tewas 4-5 kepada India pada perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Wisma Belia, sebentar tadi.

India menerima kejutan seawal minit pertama apabila penyerang Shahril Saabah berjaya mengawal bola di dalam kawasan D sebelum melakukan pukulan kilas masuk rendah ke penjuru kiri gawang gol lawan.

Bagaimanapun India berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-10 hasil jaringan padang Mandeep Singh selepas berlaku keadaan kucar-kacir di depan gawang gol skuad negara.

Shahril sekali lagi cemerlang mencetak gol kedua negara selepas menguis masuk bola tepat di depan gawang gol India.

Bersambung separuh masa kedua, skuad negara berpeluang menambah gol ketiga apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-39, tetapi mereka mensia-siakan peluang itu.

India akhirnya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Gurjant Singh pada minit ke-40 sebelum mendahului buat kali pertama selepas Harmanpreet Singh tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-46.

Kedudukan skuad negara semakin sukar selepas Harmanpreet sekali lagi menolak masuk pukulan sudut penalti dengan baik pada minit ke-56 dan Mandeep meledak gol padang minit ke-61 untuk menjadikan kedudukan 5-2.

Bagaimanapun penyerang Sufi Ismat Rohulamin merapatkan jurang dengan menyumbang gol ketiga pada minit ke-61 sebelum Shahril menambah gol keempat pada minit ke-66.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 10:15 PM