Kaji selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) 2011 menunjukkan kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes. Jumlah ini amat membimbangkan dan menuntut perhatian serius semua pihak termasuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.

Bagi menangani cabaran kesihatan ini, semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri. Selain rawatan optimum yang diberikan oleh pegawai perubatan, pesakit juga perlu patuh terhadap pengambilan ubat-ubatan yang diberikan kepada mereka.

Kepatuhan terhadap pengambilan ubat sangat penting untuk memperoleh manfaat ubat sepenuhnya. Kefahaman yang jelas mengenai ubat akan membantu pesakit lebih patuh dalam pengambilan ubat-ubatan.

Kepatuhan ubat bermaksud mengikut sebarang arahan atau cadangan pengambilan ubat oleh pakar kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi.

Arahan ini merangkumi cara pengambilan ubat yang betul, perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, mengubah tabiat pemakanan yang tidak sesuai serta mengamalkan aktiviti fizikal yang cergas seperti bersenam.

Malangnya, ramai pesakit tidak mengendahkan kepentingan untuk mematuhi arahan pengambilan ubat yang diberi oleh ahli kesihatan. Akibatnya, berlaku peningkatan jumlah kematian pesakit kesan daripada komplikasi, pertambahan kadar kemasukan pesakit ke hospital dan tempoh masa rawatan lebih panjang.

Terdapat beberapa keadaan apabila cara pengambilan ubat boleh dianggap sebagai tidak patuh. Antara yang paling kerap dilakukan pesakit ialah sengaja tidak mengambil ubat atau sebaliknya. Situasi ini berlaku kerana pesakit gagal mendapatkan bekalan ubat selanjutnya atau terlupa jadual pengambilan ubat di fasiliti kesihatan.

Sikap tidak patuh turut disebab-kan oleh pesakit mengalami kesan sampingan, tidak memahami kepentingan pengambilan ubat dan tiada persetujuan atau komunikasi yang kurang berkesan antara pesakit dengan pengamal perubatan.

Antara sikap kurang bijak dalam pengambilan ubat-ubatan ialah: l Meningkat atau mengurangkan dos dengan sengaja.

- Mengambil ubat bukan atas tujuan yang dibenarkan.

- Kesilapan dalam kekerapan mengambil ubat.

- Mengambil ubat dengan cara yang salah.

- Mengambil ubat-ubatan dipreskripsikan dan tidak dipreskripsikan tanpa nasihat pakar.

- Mengambil baki ubat atau berkongsi ubat dengan pesakit lain tanpa mengetahui diagnosis sebenar penyakit yang dihidapi.

- Mengambil ubat yang sudah lama dipreskripsi dan bukan ubat yang dipreskripsi berdasarkan diagnosis terkini.

Tiada disiplin dalam pengambilan ubat-ubatan menyebabkan kesan tidak diingini berlaku seperti kegagalan rawatan atau penyakit berulang. Sebagai contoh, penyakit berjangkit seperti tibi mungkin muncul semula jika terapi antibiotik dihentikan sebelum tempoh ditetapkan.

Ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan juga boleh menyebabkan pesakit menerima kesan dos berlebihan. Kesan ini boleh terjadi akibat daripada pesakit menambah dos ubat tanpa arahan daripada doktor.

Selain itu, ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan juga secara tidak langsung akan mening-katkan kos rawatan perubatan seperti kos pemeriksaan oleh doktor, kos penjagaan di hospital atau institusi rawatan dan kos ujian makmal. Akhirnya tempoh rawatan yang diterima oleh pesakit juga menjadi lebih panjang.

Terdapat beberapa cara untuk meningkatkan kepatuhan terhadap ubat-ubatan. Antaranya, bekerjasama dengan pengamal perubatan yang merawat anda. Setiap pesakit tidak boleh mengharapkan rawatan yang terbaik sekiranya mereka berdiam diri atau tidak bekerjasama sewaktu rawatan diberi.

Situasi seperti ini sering berlaku pada golongan pesakit warga emas kerana mereka menganggap tanggungjawab rawatan terletak di bahu pengamal perubatan semata-mata. Tanggapan ini salah kerana rawatan masa kini memerlukan persefahaman dan persetujuan pesakit berkaitan cara rawatan yang akan diberi.

Pesakit tidak harus malu untuk meluah pendapat mereka terhadap rawatan ubat-ubatan yang diberi. Komunikasi berkesan di antara pesakit dan pengamal perubatan boleh membantu pesakit meningkatkan pengetahuan dan seterusnya, mengubah persepsi mereka terhadap ubat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 7:43 AM