BETTY bersemangat untuk perkenal koleksi baru di KL Fashion Weekend.
Oleh Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Sarat mengandung dan hanya menanti hari untuk melahirkan, bukan alasan untuk Betty Banafe duduk berehat, sebaliknya tetap sibuk menyiapkan segalanya sebelum berehat panjang.

Jika anak sulung, Julia Claire Bruce lahir pada 1 Disember 2013, anak keduanya dijangka lahir pertengahan bulan ini. Harapannya, semoga anaknya lahir selepas segala kerjanya selesai.

Kata Betty, dia sedar kandungan melepasi sembilan bulan dan akan melahirkan anak bila-bila masa saja tetapi sangat berharap anaknya lahir selepas 15 November.

“Pada hari itu saya akan perkenalkan koleksi baru JuliaBetty Glitter Pretty sempena acara Kuala Lumpur Fashion Weekend. Saya dijemput turut sama memperagakan koleksi dan ia adalah rekaan terbaru,” katanya mengenai majlis yang bakal berlangsung jam 3.30 petang ini di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay.

Katanya, pengalaman mengandung kali ini berbeza berbandung sebelum ini. Walaupun sarat, dia masih aktif menguruskan perniagaannya.

Betty mengakui semangatnya berkobar-kobar untuk bekerja.

Katanya, mungkin sebab kali ini dia hamil anak lelaki membuatkan semangat berbeza ketika mengandungkan Julia dulu.

“Memang sangat ketara perbezaannya antara kehamilan pertama dan yang sekarang ini. Dulu saya juga mengalami perbezaan emosi yang ketara. Saya sangat sensitif dan cepat menangis.

“Menonton drama sedih sudah cukup menyentuh perasaan hingga mengalirkan air mata. Melihat berita menyedihkan seperti kematian yang dikongsi menerusi Facebook akan membuatkan saya menangis.

“Tapi kali ini saya tidak lagi ada emosi yang sebegitu. Saya sangat tegas lebih dari yang selalunya. Mungkin pembawaan anak lelaki, sebab itu ia turut mempengaruhi perwatakan saya,” katanya.

Betty juga akui tidak mengalami alahan berbanding dulu. Katanya, ketika mengandung anak pertama dulu, dia mengalami alahan sangat teruk langsung tidak ada selera makan dan badan terasa lemah.

“Kali ini, semua makanan saya boleh makan. Saya rasa segar dan kuat untuk bekerja. Keadaan ini membuatkan saya tidak berasa sebarang halangan untuk kekal aktif.

“Sampai sekarang saya masih keluar berjumpa pelanggan dan tetap memandu. Bagaimanapun, timbul juga rasa takut memandu seorang diri dalam keadaan sarat sekarang, takut juga tiba-tiba sakit mahu bersalin. Tapi sebab sudah ada pengalaman, saya boleh kawal perasaan itu,” katanya.

Walaupun ini kehamilan kedua, Betty dan suami, Bruce Dargus tetap rasa teruja. Malah wanita berdarah Melayu-Arab-Jawa ini seronok melalui pengalaman itu.

“Paling saya suka interaksi Julia dan adiknya yang bakal lahir. Julia semakin aktif dan bijak. Dia juga semakin nakal hingga membuatkan saya risau dia akan buli kawannya sebab saya lihat dia sangat berani.

“Bagaimanapun, setakat ini kejadian seperti itu belum pernah terjadi dan saya harap tidak akan pernah berlaku,” katanya.

Dengan perut semakin besar kemudian melayan ragam Julia, tentunya memenatkan tetapi sebagai ibu, itulah perkara yang membahagiakan Betty.

Katanya, Julia juga semakin manja mungkin kerana tahu dia akan dapat adik. Julia juga selalu cium perutnya dan itu bermakna dia tahu akan mendapat adik.

“Walaupun sibuk, saya tetap meluangkan masa membuat persiapan menyambut kelahiran anak kedua. Setiap kali kami sekeluarga membeli-belah, kami akan beritahu Julia barang-barang itu untuk adiknya.

“Saya harap Julia akan menjadi kakak yang baik. Apa pun, Julia kena tunggu adik dia berusia enam bulan baru boleh bermain bersama,” katanya.

Mengenai perniagaan pakaiannya, Betty akui hanya menghasilkan pakaian kanak-kanak perempuan dan Julia adalah inspirasi untuk rekaan pakaiannya.

“Ada kebarangkalian saya akan keluarkan pakaian untuk budak lelaki tetapi dalam jumlah yang sikit. Pakaian lelaki bukan kepakaran saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:09 AM