JENAMA baru untuk sukan permotoran lasak.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Sherco Malaysia, pengeluar motosikal dari Perancis dan sangat pakar dalam menghasilkan motosikal lasak bagi kategori ‘off-road’ melakukan penampilan pertama dengan mempamerkan rangkaian motosikalnya di negara ini baru-baru ini.

Di negara ini, Sherco Malaysia mempamerkan sebahagian daripada rangkaiannya membabitkan 250 ST, 300 ST, 250 SE-R, 300 SE-R, 250 SEF-R, 300 SEF-R & 290 X-Ride.

Motosikal yang dipasang di kilang baru di Nimes, Perancis membuka ruang baru kepada peminat motosikal lasak di negara ini.

Pengurus Jualan Sherco Malaysia, George Stothart berkata, pengenalan jenama Sherco di pasaran negara ini pasti menarik lebih ramai peminat motosikal kategori enduro dan motocross.

“Kehadiran kami secara tidak langsung memberi pilihan jentera baru untuk pertandingan dalam kategori motosikal berkenaan.

“Motosikal itu akan dipasarkan pada bulan ini dan kini kami berada dalam proses pendaftaran dengan pihak berkuasa,” katanya.

Sherco ditubuhkan pada 1998 dan sudah 17 tahun dalam industri pembuatan motosikal lasak serta mempu­nyai 20 model berbeza.

Syarikat berkenaan mahir dalam menghasilkan dua kategori motosikal iaitu enduro dan trial yang dikuasa enjin dua lejang serta empat lejang.

Buat masa ini, ia mempunyai enjin dengan bersesaran antara 50 sehingga 510 cc yang dijual di lebih 50 negara di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:05 AM