Aksi peserta melakukan snokeling.
PESERTA terjun setinggi lima meter.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Pemandangan pulau sambil bayu laut menghembus lembut memberi mood cukup tenang buat mereka memilih pantai sebagai lokasi beriadah.

Bermain pasir serta berenang di laut antara aktiviti sering dilakukan bagi mengisi waktu lapang di pulau.

Namun satu pengalaman berbeza apabila berkunjung ke Pulau Perhentian Terengganu baru-baru ini atas jemputan Kelab Peminat Ziana Zain apabila ditawarkan mencuba aktiviti ekstrem.

Malah ada antara peserta program sanggup melompat setinggi lebih lima meter dari tebing ke laut untuk merasa pengalaman melakukan aktiviti ‘cliff jump’ atau terjun cerun.

Ada terdetik perasaan bimbang andai antara mereka terkena batu mahupun cerun lantai batu yang menjadi tempat melompat mereka, namun bagai sudah ketagih, mereka tidak berhenti.

Peserta aktiviti terbabit, Shukri Samar, berkata pada mulanya dia gayat serta tidak percaya dapat melakukan lompatan, namun setelah diyakinkan aktiviti itu selamat oleh pemandu pelancong tempatan, dia beranikan diri untuk mencubanya.

“Nampak rendah, tetapi apabila berdiri di hujung jeti, tiba-tiba rasa gayat. Memang tinggi dan beberapa kali saya berundur kerana tidak sanggup melakukannya.

“Tetapi sebaik digesa kawan untuk mencuba kerana ia tidaklah begitu menakutkan seperti dibayangkan, saya beranikan diri.

“Saya mula melompat dari tebing rendah kemudian pergi ke peringkat lebih tinggi apabila berasa yakin aktiviti ekstrem ini sangat menyeronokan.

“Ia mencabar kemampuan serta keyakinan diri saya yang mudah berasa gayat. Ia berbeza daripada aktiviti ekstrem pernah saya sertai seperti memanjat gunung,” katanya.

Bagi jurupandu Pulau Perhentian, Mohd Taufik Mohd Noor, dulu ada tiga lokasi untuk melakukan lompatan bebas tebing seperti aktiviti cliff jump.

Tetapi atas sebab keselamatan, dua lokasi terpaksa ditutup dan ini menyebabkan lokasi dipanggil Kincir Angin berhampiran Pulau Long Beach menjadi tumpuan peminat aktiviti cliff jump.

“Selain aktiviti ekstrem seperti skuba, tarikan Perhentian ialah beberapa lokasi untuk membuat terjunan tebing.

“Namun ketika ini hanya satu lokasi dibuka pada pengunjung pulau. Tetapi itu sudah memadai untuk menggerunkan mereka yang gayat kepada ketinggian.

“Nampak macam mudah serta tidak perlukan persiapan rapi kerana tiada peralatan teknikal diperlukan, namun buat penerjun mereka perlu ada kekuatan mental selain memastikan lokasi terjunan selamat.

“Satu kemahiran lain ialah mereka perlu tahu asas renang serta mengapung diri. Ini membabitkan aktiviti dalam air tentu saja perlu berenang selepas selamat terjun di dalam air,” katanya yang turut ditemani rakan jurumudi, Zul.

Hadir sama menyaksikan rakan membuat lompatan, Wan Ahmad Hafizuddin Wan A Razak. Melihat rakan lain membuat lompatan membuat dia cemburu untuk turut sama tetapi ragu-ragu untuk melakukannya.

“Ketika program, saya cuma berkesempatan melakukan aktiviti jelajah pulau serta snorkeling. Kebetulan laut berombak membuatkan saya sedikit teragak-agak untuk melakukannya.

“Ketika itu penat pun masih belum hilang setelah snorkeling di tiga pulau berbeza selain aktiviti jelajah pulau sekitar.

“Secara tidak langsung mempengaruhi mental dan membuatkan saya tiada kekuatan untuk terus mengikuti aktiviti seterusnya, melompat tebing,” katanya.

Manakala buat Atikah Mohamed Rosli, biarpun tidak berkesempatan melakukan aktiviti terjun tebing, dia teruja dapat melakukan aktiviti jelajah pulau serta snokeling bersama kenalan baru.

“Aktiviti ekstrem bukan benda asing bagi saya. Saya mempunyai minat mendalam dalam aktiviti luar termasuk berkayak. Malah saya ada sijil kayak dan pernah menyertai aktiviti dayung jarak jauh.

“Cuma terjun tebing belum lagi kerana hanya lokasi tertentu yang selamat untuk melakukannya. Jika berkesempatan, kunjungan lain saya ingin mencuba aktiviti berkenaan

“Secara keseluruhan program ini menyeronok­kan dan banyak kenalan baru saya berkongsi minat sama,” katanya.

PROFIL:

NAMA: Mohd Taufik Mohd Noor

UMUR: 25 tahun

ASAL: Pulau Perhentian Terengganu

NAMA: Atikah Mohamed Rosli

UMUR: 28 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:04 AM