KEKAL pendirian walaupun pihak penerbit drama Dawai Asmara minta dipertimbangkan.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Trauma akibat ditumbuk dan dipukul pengarah, Azma Aizal Yusoof, pelakon dan penyanyi, Ika Nabella, 26, nekad menarik diri daripada penggambaran drama Dawai Asmara terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim membuat keputusan itu beberapa hari selepas insiden terbabit yang berlaku pada Isnin, 2 November lalu.

“Selepas membuat laporan polis tempoh hari, saya sudah menyatakan hasrat menarik diri, tetapi pihak penerbit meminta saya mempertimbangkan keputusan itu.

“Namun, selepas berfikir banyak kali saya tetap dengan pendirian. Mereka juga tak menghalang. Bagi saya, ini adalah jalan terbaik tambahan pula saya masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Difahamkan drama 20 episod itu kembali diteruskan selepas tertangguh hampir seminggu.

Menurut Ika, dia tidak pasti siapa bakal menggantikan tempatnya begitu juga dengan status pengarahnya.

Ditanya sejauh mana perkembangan laporan yang dibuat, kata Ika dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.

“Saya dimaklumkan pihak berkuasa sudah ada keputusan hasil siasatan, tetapi biarlah mereka yang mengesahkan,” katanya yang menerima dua tawaran drama selepas insiden terbabit.

Jelas Ika lagi, sepanjang tujuh tahun berlakon dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah di lokasi sebaliknya memberikan sepenuh komitmen.

“Apa yang berlaku saya anggap sejarah hitam sepanjang bergelar anak seni. Ia menjadi pengajaran agar saya lebih berhati-hati.

“Salah atau tidak seseorang itu, tidak wajar menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Pada waktu sama, timbul kebimbangan dalam diri Ika apabila ada pihak cuba menyalahkannya.

“Saya tak nak orang salah faham. Tindakan saya membuat laporan polis adalah atas nasihat beberapa pihak. Bukan sekadar mempertahankan diri sendiri, tetapi untuk orang lain juga supaya perkara sama tak berulang.

“Produksi pula bersikap adil dan faham apa yang berlaku. Kiranya, tindakan saya itu betul,” katanya.

Serik bekerjasama

Masih dihantui insiden terbabit, Ika mengakui serik untuk bekerjasama dengan pengarah telefilem Antara Garisan itu.

“Ikutkan kami sudah dua kali bekerjasama sebelum ini. Ketika itu tak ada sebarang masalah. Malah, pembabitan saya menerusi drama ini adalah atas permintaannya.

“Tak sangka lain pula yang jadi. Memang terkejut dibuatnya. Buat masa sekarang, saya belum sedia berjumpa atau bekerjasama dengannya. Akan datang, tak tahu lagi macam mana,” katanya.

Ika menegaskan tidak ada masalah untuk bersikap profesional, namun bukan dalam waktu terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:03 AM