WONG dikawal ketat polis ketika dibawa ke Mahkamah Daerah Jakarta Barat semalam.
Reuters

Jakarta: Seorang ketua sindiket pengedar dadah dari Hong Kong dihukum mati oleh sebuah mahkamah di sini semalam selepas didapati bersalah memiliki lebih 860 kilogram methamphetamine.

Wong Chi Ping dan anggota sindiketnya ditahan pihak berkuasa di Jakarta pada Januari lalu selepas tiga tahun siasatan dijalankan terhadapnya.

Susulan tangkapan itu pihak berkuasa menemui lebih lebih 860 kilogram methamphetamine, antara rampasan terbesar dadah di Indonesia.

“Ini adalah rampasan dadah terbesar dalam tempoh lima tahun.

“Hukuman berat terhadap pesalah dadah ini adalah langkah pencegahan bagi menghalang sesiapa melakukan kesalahan sama,” kata jurucakap Agensi Narkotik Kebangsaan, Slamet Pribadi.

Hukuman mati di Indonesia biasanya dilaksanakan oleh skuad penembak tepat tentera.

Peguam Chi Ping, Rando Vittoro Hasibuan memberitahu, dia akan merayu keputusan mahkamah itu.

“Kami berharap anak guam kami masih mempunyai peluang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

“Kami percaya dia tidak sepatutnya dijatuhi hukuman mati,” katanya.

Chi Ping dipercayai menjadi dalang di sebalik sindiket menyeludup methamphetamine dari Hong Kong ke Indonesia.

Menurut laporan media, dadah itu ditemui dalam bekas kopi.

Tidak lama selepas ditangkap, polis mengarahkan Chi Ping dan ahli kumpulannya membakar dadah bernilai AS$73.21 juta (RM321 juta) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 4:55 AM