LAMAN Tiga Budaya dibuka untuk penginapan kepada peserta.

Jasin: Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menawarkan tempat penginapan terhad di Taman Tema Laman Tiga Budaya sempena Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan nanti.

 Yang Dipertuanya Hazudin Hashim berkata, pihaknya akan mengaturkan tempat penginapan berkenaan bersama operator taman tema itu.

 Katanya, tempat penginapan itu dibuka semata-mata untuk menyambut kedatangan peserta pada penganjuran sulung kejohanan MTB di kawasan pentadbiran MPJ.

“Walaupun kawasan taman tema itu masih dalam proses baik pulih, tempat penginapan itu masih boleh digunakan dan kita akan memastikan operator membuat persediaan secukupnya sebelum menjelangnya hari kejohanan.

“Usaha MPJ itu ialah membantu peserta mendapatkan tempat penginapan berhampiran dengan venue kejohanan disamping membantu mengatasi masalah penginapan berikutan hotel dan homestay di daerah ini dijangka penuh disebabkan kehadiran ramai peserta,” katanya.

Hazudin berkata, tempat penginapan itu mampu memuatkan sehingga 40 peserta dan pihaknya akan memastikan ia diatur dengan baik demi keselesan mereka.

Pihaknya sudah mengarahkan operator melakukan kerja-kerja mengemas bagi tempoh kurang dua minggu sebelum kejohanan bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 4:59 AM