SATRINA.
SATRINA bermula dengan menyanyi di kelab.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Dia baru saja tampil dengan album pertama, namun melihatnya beraksi di pentas kehebatannya setaraf penyanyi antarabangsa.

Hadir di persada seni pada usia yang mungkin lewat bagi orang lain, nyata ia bukan halangan buat penyanyi dari Indonesia, Satrina, 34, untuk meneruskan perjuangannya.

Satrina atau nama sebenarnya Nurhidayati Rumza tampil dengan album berjudul Kisahku.

Mempertaruhkan muzik R & B, dia yang mengagumi Agnes Monica dan Beyonce Knowles turut mengakui seorang yang agresif serta gemarkan muzik yang rancak lagi segar.

Mula menyanyi ketika berusia 15 tahun, Satrina mula mencipta nama di sini dan kian dikenali di beberapa kelab di Pulau Pinang.

“Saya mula menyanyi di sini empat tahun lalu. Bermula dengan menyanyi di kelab saya diberi peluang menghasilkan album.

“Semua lagu yang ada ciptaan sepenuhnya saya sendiri dan dibantu komposer Aaron Then dan Elton Collins.

“Rasa gembira apabila hasrat menghasilkan album terlaksana dan berharap peminat menerima muzik yang saya bawa,” kata penyanyi berasal dari Surabaya ini.

Memilih melancarkan album pertamanya di sini, Satrina berkata, permulaan kariernya di sini justeru dia memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk diperdengarkan lagunya.

“Sebelum datang ke Malaysia, saya juga pernah menyanyi di China dan Bangkok, Thailand.

“Namun rezeki lebih berpihak di sini, kerana itulah, sebagai penghargaan dan sokongan semua yang ada di sini, saya pilih Malaysia untuk melancarkan album ini sebelum dilancarkan ke Indonesia,” katanya.

Album yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia itu turut memuatkan lagu seperti Single, Kegilaanku (Oh Na Na), In Love, Stop Talkin’ dan Ketakutanku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 8:56 AM