DUA warga Bangladesh diiringi pegawai SPRM untuk dihadapkan ke mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Danial Noordin
Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Dua lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan berasingan kerana memberi dan bersubahat memberi rasuah wang tunai berjumlah RM10,000 kepada ejen kerajaan, awal bulan ini.

Tertuduh, Md Liton, 36, dan rakannya Md Mosher Rahoman, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pertama, Md Liton didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 28 (1) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 kerana membantu rakan senegaranya, Md Mosher Rahoman memberi suapan bernilai RM10,000 kepada Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kedah, Yusrazif Wan Yusoh pada 9.15 malam di Tapak Pembinaan Ladang Ayam, Lubok Getah, Pendang, dekat sini, pada 8 November lalu.

Manakala, tertuduh kedua Md Mosher Rahoman didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah wang tunai bernilai RM10,000 kepada individu sama pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar yang mengendalilan prosiding memohon mahkamah memberikan jaminan wang tunai RM20,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia kepada setiap tertuduh berikutan kesalahan dilakukan mereka adalah serius iaitu memberi suapan kepada kakitangan kerajaan.

Bagaimanapun, peguam Siti Hajar Abdullah@Hamzah yang mewakili tertuduh pertama dan K Dharmendra mewakili tertuduh kedua memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM10,000 setiap seorang kerana kedua-dua tertuduh masih mempunyai tanggungan iaitu isteri serta anak-anak di negara asal selain pendapatan harian mereka sebagai buruh kontrak berjumlah antara RM45 ke RM50.

Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia setiap seorang selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan, manakala 13 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 4:42 PM