FABREGAS dakwa hubungan dengan Mourinho tetap baik.

Cesc Fabregas (gambar) berkata, hubungannya dengan pe­ngurus yang semakin tertekan, Jose Mourinho kekal baik walaupun dia, Eden Ha­zard dan Diego Costa sering menjadi mangsa kritikan jurulatih itu setiap kali Blues tewas.

Persembahan hambar Chelsea sejak awal musim ini menyaksikan Mourinho sering dikritik sekali gus meletakkan pengendali Portugal itu dalam keadaan sangat tertekan dan tidak hairanlah mengapa khabar angin mengenai hubungan dingin antara beliau dengan anak buahnya sering kedengaran.

Tambahan pula, Mourinho semakin kerap menyalahkan individu tertentu gara-gara persembahan hambar pasukannya dan Fabregas serta Hazard sering menjadi mangsa dan kedua-duanya diketepikan dari kesebelasan utama sejak beberapa minggu lalu.

Bekas pemain tengah Barcelona itu memberitahu stesen radio Sepanyol El Partido de las 12 bahawa dia, bersama-sama Hazard dan Costa, sering menjadi mangsa dan dipersalahkan Mourinho tetapi itu tidak bermakna hubungan mereka dengan pengendali berkenaan menjadi dingin.

“Bila semuanya baik, anda pasti dianggap sebagai yang paling hebat dan apabila keadaan menjadi sebaliknya, anda dilihat sebagai seorang yang tidak menyumbang kepada pasukan,” kata Fabregas.

“Mungkin pemain yang paling kerap dipersalahkan setiap kali kami menerima keputusan negatif ialah Hazard, Diego Costa dan saya sendiri.

“Hubungan saya dengan Mourinho bagaimanapun tetap elok, seperti biasa tetapi setiap kali ada yang berlangsung tidak baik, pasti ada pilihan buat pengurus dan juga saya sendiri.”

Fabregas turut menafikan bahawa dia adalah punca yang menyalurkan maklumat dari dalam bilik persalinan kepada media.

“Ada yang mendakwa sayalah yang bertanggungjawab mendedahkan perkara rahsia di dalam bilik persalinan kepada pihak luar terutamanya media,” katanya.

“Saya tidak tahu dari mana pendapat itu hadir. Saya perlu mempertahankan diri.”

Fabregas percaya pemilik Chelsea Roman Abramovich akan terus menggunakan khidmat Mourinho.

“Saya tidak fikir mereka akan memecat Mou,” katanya. “Beliau percayakan kami dan kami percaya beliau. Kami perlu keluar dari masalah ini bersama-sama, sebagai satu pasukan. Keputusan yang kami terima ini tidak menggambarkan permainan kami tetapi saya yakin ia akan bertambah baik.”

Fabregas turut ditanya mengenai bekas pengendali Barca Pep Guardiola yang dikaitkan dengan perpindahan ke England apabila kontraknya di Bayern Munich tamat hujung musim ini.

“Saya tidak ragu-ragu bahawa Guardiola akan mencuba nasib di Liga Perdana,” kata Cesc.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 1:28 PM