KEADAAN rumah yang dinaiki air berikutan hujan lebat. FOTO Shahrizal Md Noor
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam mengusung mangsa banjir, Esah Abdullah, 95, dari Kampung Kedai, Mukim Titi Teduri untuk dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. FOTO Shahrizal Md Noor
Oleh Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Kira-kira 350 penduduk membabitkan 87 keluarga, di sini, dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara setakat 12 tengah hari tadi selepas rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter sejak malam tadi.

Difahamkan, hujan lebat selama dua jam sejak 6 petang semalam menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dengan cepat.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, semua mangsa dipindahkan ke Dewan Surau Weng, Surau Kampung Baru, Dewan RISDA Kampung Tanjung Pari, Surau Kampung Seri Ketengga, Dewan Banggol Derom, Dewan UMNO Batu 60, Rumah Mesra Rakyat Kampung Siput, Surau Kampung Lahar, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Lalang dan Kampung Sungai Limau.

Menurutnya, antara kawasan terjejas termasuk Kampung Carok Bendang, Tanjung Pari, Batu 60, Bukit Sebelah, Weng Dalam , Weng Luar, Banggol Derom, Kampung Siput, Lahar, Seri Ketengga, Haji Abas, Kampung Baru dan Kampung Lalang di Mukim Siong.

"Operasi memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara dilakukan oleh bantuan pasukan penyelamat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPAM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta dibantu polis serta RELA.

"Terdapat kejadian penduduk terperangkap sebelum dibawa keluar dengan menggunakan bot," katanya.

Katanya, setakat 12 tengah hari ini keadaan cuaca adalah baik, dan air Sungai Ketil di Pulai berada paras normal iaitu 49.69 meter.

"Jika keadaan bertambah baik mungkin penduduk akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 1:53 PM