LITAR Hermanos Rodriguez kembali anjur F1 selepas 23 tahun.

London: Penganjur Grand Prix Mexico Alejandro Soberon berkata, lebih baik sekiranya aksi di tempat mereka dijalankan selepas Texas berbanding Brazil.

“Secara peribadi, saya rasa lebih baik sekiranya kami menjadi tuan rumah selepas Texas,” katanya ketika perbualan telefon selepas Mexico kembali menjadi tuan rumah Formula Satu selepas tidak berbuat demikian selama 23 tahun.

“Ia akan memberi peluang kepada peminat Eropah dan Asia untuk datang ke sini dan dalam tempoh 10 hari, mereka boleh menyaksikan dua perlumbaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Corporacion Interamericana de Entretenimiento (CIE).

Kira-kira 135,000 penonton hadir menyaksikan perlumbaan pada 1 November yang dilangsungkan di Litar Hermanos Rodriguez yang juga GP Mexico pertama sejak 1992.

Minggu sebelumnya, ketika aksi di Texas, pemandu Britain Lewis Hamilton dinobatkan juara dunia buat kali ketiga bersama Mercedes.

Soberon berkata, tarikh yang diberikan untuk mereka menjadi tuan rumah tahun ini jatuh pada Hari Mexico dan ia tepat buat penduduk tempatan serta pelancong.

“Kami sukakan tarikh tahun ini. Kami perlu berbincang untuk tarikh tahun depan kerana jika ia memberikan faedah buat peminat tempatan, sudah tentu berbaloi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya tarikh GP Mexico diadakan dekat dengan perlumbaan di Litar Austin sekali gus menyediakan pakej percutian yang bakal menggalakkan peminat untuk menyaksikan kedua-dua perlumbaan itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 9:34 AM