KHAIRUL (kanan) di booth Urban Bike.
Oleh Fatin Farhana Japre
bisnes@hmetro.com.my

Putrajaya: Urban Bike Ventures, pengedar produk pengangkutan elektronik Ninebot, Acton dan Smart Wheel menyasarkan jualan sebanyak 60 unit setahun selepas memperluaskan jualan produknya kepada peniaga dalam talian di negara ini.

Pengarah Pemasarannya, Khairul Hisham Mohd Moktar berkata, bermula November ini pihaknya akan membuka peluang kepada semua peniaga dalam talian yang berminat untuk menjana pendapatan sampingan dengan menjual produknya melalui program ‘Urban Bike Connect’.

Beliau berkata, sejak memulakan operasi pada Mac lalu pasaran perniagaannya hanya tertumpu di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Justeru itu, melalui program ‘Urban Bike Connect’ beliau berharap ia dapat memperluaskan lagi pasarannya ke seluruh Malaysia sebelum menembusi pasaran luar.

“Bagi setiap unit yang terjual, peniaga akan diberi komisen RM200 tanpa perlu mengeluarkan modal. Setakat ini agen ‘Urban Bike Connect’ kami hanya ada di Johor Bahru, Pulau Pinang, Bangi, Kajang, Kuala Lumpur, Perlis, Kedah, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Peluang masih dibuka kepada peniaga dalam talian yang berminat menyertai kami,” katanya kepada Bisnes Metro.

Khairul berkata, dia hanya menjual produk pengangkutan elektronik yang berkualiti tinggi dari China berbanding sesetengah pengedar yang menjual barangan yang tidak berkualiti dan mudah rosak.

“Kami menjaga kualiti produk bagi memberi kepuasan maksima kepada pelanggan. Setiap produk diberi jaminan setahun manakala baterinya pula selama enam bulan,” katanya.

Katanya, produk terbabit mesra alam kerana menggunakan teknologi terkini yang dikuasakan oleh bateri malah pengguna dapat menjimatkan minyak kerana produk ini boleh pergi sejauh 40 kilometer pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 6:40 AM