Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap tuduhan memukul teman wanita dan mendera anak perempuan teman wanitanya berusia dua tahun, Oktober lalu.

Bagaimanapun, Ramizu Che Mat, 33, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak perempuan itu di rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, di sini, antara 20 hingga 25 Oktober lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa mencederakan teman wanitanya Nor Fadhilah Khori, 21, dengan menggunakan tangan dan kaki.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai mendera kanak-kanak perempuan terbabit dan ibunya yang berusia 21 tahun.

Lelaki itu turut didakwa mengurung dua beranak terbabit di dalam rumah berkenaan sebelum mereka berjaya melarikan diri ke rumah saudara terdekat, di sini dan membuat laporan polis.

Kanak-kanak itu mengalami lebam di kedua-dua mata dipercayai akibat ditampar, punggung dan badan yang mempunyai kesan dicucuh puntung rokok dan kecederaan lain selain ibu mangsa turut didera dan mengalami kecederaan.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini sejurus laporan polis dibuat sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 4:06 PM