CGC lulus 6,900 pinjaman bernilai RM2.6 bilion.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan bernilai RM3 bilion tahun ini yang akan memberi manfaat kepada 7,800 usahawan tempatan terutama dalam kalangan pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setakat September lalu, CGC telah meluluskan 6,900 pinjaman bernilai RM2.6 bilion melalui semua produk jaminan dan pembiayaannya, sekali gus berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini, pihaknya optimis untuk menurunkan kadar peratusan pembiayaan tidak berbayar (NPL) daripada 12 hingga 13 peratus setakat September lalu kepada 10 peratus menjelang 2018.

Beliau berkata, angka itu dilihat mampu dicapai memandangkan pada 2014, NPL yang dicatatkan CGC antara 15 hingga 16 peratus dan ia menunjukkan penurunan yang positif.

“Bagi mencapai sasaran penurunan NPL dari setahun ke setahun, kita perlu memastikan penerima pembiayaan mempunyai modul perniagaan yang baik dan mampu membuat pembayaran semula dalam tempoh ditetapkan.

“Sekiranya terdapat syarikat yang berdepan dengan masalah bayaran balik, kami akan memberi bimbingan kepada mereka untuk meningkatkan perniagaan dengan meneliti masalah dihadapi contohnya berkaitan pasaran dan permintaan produk,” katanya kepada Bisnes Metro, baru-baru ini.

Sejak diperbadankan pada 1972 sehingga kini, CGC sudah meluluskan pembiayaan bernilai RM56 bilion dan memberi manfaat kepada 430,000 IKS tempatan.

Mohd Zamree berkata, CGC memainkan peranan penting bagi meningkatkan pembangunan PKS di Malaysia menerusi mempelbagaikan produk pembiayaan.

“Ia sejajar dengan visi kami untuk menjadi sebuah institusi kewangan yang khusus menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan PKS yang berdaya saing.

“CGC akan terus membantu IKS yang berdaya maju dengan menawarkan produk inovatif bagi meningkatkan pencapaian PKS kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 7:29 AM