KHAIRUL (tengah) meraih pingat emas di Bangkok.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Misi pemanah negara meraih tiket individu ke Sukan Olimpik Rio 2016 terlaksana apabila Khairul Anuar Mohamad muncul juara kelayakan Olimpik pada Kejohanan Memanah Asia di Bangkok, semalam.

Pemanah utama negara itu mempamerkan persembahan cemerlang apabila menewaskan pemanah Mongolia Gantugs Jantsan 6-0 untuk meraih emas.

Malah Malaysia terlebih dulu mengesahkan tiket ke Olimpik Rio apabila rakan sepasukannya, Haziq Kamaruddin mara ke separuh akhir.

Pada kejohanan itu, hanya tiga kedudukan teratas mendapat tiket ke Olimpik Rio namun ia terhad untuk satu negara bagi setiap tiket.

Bagaimanapun langkah Haziq tersekat pada separuh akhir ketika Khairul Anuar sebaliknya cemerlang menewaskan Sultan Duzelbayev dari Kazakhstan untuk mara ke final dan seterusnya bergelar juara.

“Saya gembira dengan kejayaan ini dan mampu membolehkan atlet kami diserapkan dalam Program Podium.

“Namun matlamat utama adalah kelayakan ke Olimpik menerusi acara berpasukan di Turki tahun depan bagi memastikan kesinambungan trio lelaki negara sejak Olimpik 2008,” jelas Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Yazid Yahya.

Kejayaan di Bangkok itu meneruskan kesinambungan penyertaan pemanah negara sejak kali pertama bersaing di Olimpik Athens 2004.

Malah kontinjen Malaysia ke Rio kini akan bersaing dalam dua jenis sukan selepas empat penerjun negara sudah mengesahkan tempat ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:21 AM