Agensi

Baitulmaqdis: Lelaki semua peringkat usia semalam dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, buat kali pertama sejak beberapa bulan.

“Tidak ada had usia untuk memasuki Temple Mount. Kami berharap ketenteraman akan wujud hari ini,” kata jurucakap polis rejim itu, Mickey Rosenfeld kepada wartawan, merujuk kepada bahasa Yahudi bagi kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa.

Kekacauan meletus sejak beberapa bulan lalu di kawasan berkenaan kerana tindakan Israel membenarkan pelampau Yahudi memasuki pekarangan itu, kononnya untuk beribadah dan melarang lelaki Palestin bawah usia 50 tahun untuk menunaikan solat di masjid itu.

Bagaimanapun, rejim itu menambah bilangan anggota polis di sekitar bandar berkenaan semalam dengan alasan untuk menghalang kejadian buruk di dalam dan sekitar pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Rosenfeld mengaitkan keputusan menarik balik had umur berkenaan dengan rundingan di Jordan kelmarin selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry berkata, langkah dipersetujui antara Raja Abdullah dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk mengurangkan ketegangan di sekitar masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu.

Jordan yang mempunyai hak penjagaan terhadap pekarangan Baitulmaqdis, dan Israel juga bersetuju untuk mengambil langkah bagi mengembalikan keyakinan penduduk Palestin.

Penduduk Palestin sebelum ini berang dengan kempen pelampau kanan Israel yang menuntut hak untuk beribadah di Al-Aqsa dan melihatnya sebagai usaha Zionis untuk menguasai masjid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:03 AM