HONDA menguasai ruang dalam Pameran Motor Tokyo 2015.
HANYA 750 unit Honda Civic Type R dijual di Jepun.
KERETA super Honda NSX.
HONDA Clarity Fuel Cell yang bakal dijual pada tahun depan.
Oleh Erywan Norshal (yang mengunjungi Pameran Motor Tokyo 2015 baru-baru ini)
erywan@hmetro.com.my


Dua model kereta membabitkan Honda Clarity Fuel Cell dan NSX di pentas utama Honda Motor Co Ltd sempena Pameran Motor Tokyo baru-baru ini, dilihat sebagai hala tuju pengeluar automotif itu yang mahu menawarkan mobiliti pemanduan dinamik dengan menerapkan konsep penjagaan alam sekitar.

Sebagai penanda aras baharu, Honda Clarity Fuel Cell menggabungkan bahan api sel dengan nilai yang unik kepada Kenderaan Sel Bahan Api (FCV).

Honda adalah pengeluar kereta pertama yang mula menumpukan perhatian kepada penggunaan bahan api hidrogen sebagai satu cara penyelesaian isu pemanasan global dan kekurangan bahan api konvensional.

Biarpun menggunakan teknologi Honda yang dibangunkan sebelum ini, ia sebenarnya ditambah baik dengan sel bahan api dikecilkan sebanyak 33 peratus, selain menawarkan output lebih daripada 100 kW.

Rangkaian kuasa sel bahan api itu kelihatan padat seperti enjin V6 dan menjadi model pertama di dunia menggunakan teknologi berkenaan bagi kategori kenderaan sedan.

Honda Clarity Fuel Cell bakal dijual untuk pasaran Jepun pada Mac tahun depan, tetapi pada peringkat permulaan ia hanya untuk jualan kepada badan kerajaan tempatan atau rakan perniagaan Honda dalam memperkembangkan populariti FCV.

Honda NSX yang bakal dikeluarkan pada musim bunga tahun depan di Amerika Syarikat pula dilihat sebagai model kereta super generasi baharu dengan memberi keseronokan pengalaman pemanduan serta dilengkapi prestasi alam sekitar terbaik.

Model kereta super yang menggunakan nama singkatan ‘New Sports eXperience’ (NSX) itu dibangunkan dengan gabungan enjin V6 twin turbo serta tiga motor hibrid bagi memberi pakej prestasi dan pada masa sama penjimatan bahan api.

Selepas jualan di Amerika Utara, ia akan diperkenalkan secara berperingkat ke pasaran lain termasuk Jepun.

Satu lagi model paling menarik pada ruang pameran Honda adalah Civic Type R. Biarpun ia sebuah kenderaan jenama Jepun, Honda Civic Type R baru saja dilancarkan untuk jualan di negara berkenaan selepas dijual di Eropah pada musim panas lalu.

Ia juga menjadi model pertama Honda yang menggunakan enjin 2.0 L Vtec Turbo di mana memberi keseimbangan dalam menawarkan kuasa, tork dan tindak balas.

Kuasa enjin itu menyalurkan 310 PS dengan tork setinggi 400 Nm menjadikan kenderaan prestasi paling tinggi dalam generasi baharu Honda Civic Type R.

Bagaimanapun, bilangan jualan dihadkan kepada 750 unit yang dijual pada 4,280,000 yen (RM152,666.97) dan tempahan dibuka melalui laman sesawang bermula 29 Oktober sehingga 23 November 2015.

Honda juga mempamerkan Honda CR-Z serta S660 bagi memeriahkan ruang pameran yang diadakan di Tokyo Big Sight.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Wakil Pengarah Honda Motor Co Ltd, Takahiro Hachigo berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk mewujudkan nilai baru dalam pembikinan kenderaan untuk memenuhi impian masyarakat.

Menurutnya, Honda mempunyai dua hala tuju dalam menghasilkan kenderaan iaitu menyediakan ciri keselamatan dan pemanduan dinamik.

“Honda kini sedang berusaha untuk menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat termasuk kemalangan jalan raya, kesesakan lalu lintas dan isu mobiliti yang berkaitan dengan penuaan penduduk.

“Kami juga percaya bahawa kemajuan dalam Honda Sensing iaitu teknologi bantuan pemandu bakal merealisasikan pemanduan secara automatik.

“Oleh itu kami sedang meningkat dan mengembangkan teknologi Honda Sensing untuk ditawarkan kepada lebih banyak model,” katanya.

Menurutnya, apabila merealisasikan pemanduan automatik, keupayaan kenderaan Honda turut mampu mengelakkan situasi yang berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:04 AM