Kitaran haid kebanyakan wanita adalah 28 hingga 30 hari. Dalam proses kitaran ini, telur dari kilang telur wanita dirangsang oleh hormon untuk matang dan mengeluarkan telur untuk bersenyawa.

Jika pensenyawaan tidak berlaku, darah haid akan keluar pada penghujung kitaran berkenaan selama lima hingga tujuh hari. Setiap wanita mempunyai rasa sakit yang berbeza dengan wanita lain.

Jika kesakitan itu berlaku terlalu kerap, antara penyebab sakit ketika haid atau dysmenorrhea ialah fibroids. Fibroids ialah bengkak luar biasa pada tisu lembut di rahim wanita. Ia bukan barah rahim atau barah pangkal rahim dan bukan penyebab kanser rahim untuk jangka masa panjang.

Kira-kira 20 hingga 80 peratus wanita sehingga umur 50 tahun mempunyai fibroids. Akan tetapi, kebanyakan wanita yang mempunyai fibroids tidak mempunyai simptom.

Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh saiz bengkak tisu fibroids itu adalah kecil. Faktor yang mendorong seseorang wanita itu mendapat fibroids ialah kegemukan dan keturunan.

Simptom bagi fibroids bergantung pada saiz dan lokasi. Seseorang wanita itu mungkin mengalami sakit amat sangat ketika datang bulan atau pendarahan berlaku lebih banyak daripada biasa ketika haid.

Ada kala mereka mengalami sakit belakang, sukar membuang air besar, kerap membuang air kecil dan perut terasa kembung. Bukan semua wanita mempunyai fibroids tidak boleh mengandung atau mandul, hanya tiga peratus daripada mereka mempunyai masalah itu.

Namun, fibroids menyukarkan seseorang wanita untuk hamil disebabkan kedudukan fibroids pada permukaan dalam rahim di mana telur yang telah tersenyawa melekat, seterusnya mengganggu perlekatan itu.

Bagi mereka yang hamil dan dalam masa sama memiliki fibroids, kebanyakannya melalui proses hamil seperti biasa dan tidak mengalami sebarang komplikasi.

Namun risiko komplikasi tetap ada seperti keguguran, pendarahan, kelahiran pramatang dan gangguan kedudukan bayi dalam rahim. Untuk mengesahkan seseorang wanita mempunyai masalah fibroids, ujian ultrasound perlu dijalankan.

Ini kerana pemeriksaan klinikal sahaja terutamanya bagi fibroids bersaiz kecil adalah sukar.

Pilihan laih dengan melakukan ujian MRI atau magnetic resonance imaging. Kedua-dua ujian ini dapat mengesahkan dan juga menentukan saiz serta lokasi fibroids itu.

Daripada ujian pengesahan itu, rawatan akan ditentukan. Rawatan untuk wanita yang mempunyai masalah fibroids ini adalah berbeza antara satu sama lain. Dalam kebanyakan kes, tiada rawatan khas yang diberikan. Hanya ubat penahan sakit juga pemantauan berkala untuk melihat perkembangan saiz fibroids itu.

Kadang-kadang pil hormon diberikan untuk mengecutkan saiz fibroids. Jika saiznya besar dan menyebabkan komplikasi seperti pendarahan, pembedahan perlu dipertimbangan.

Terdapat beberapa pilihan untuk pembedahan dan tidak semua membabitkan pembuangan keseluruhan rahim pesakit. Bagi wanita hamil dan memiliki fibroids, pemeriksaan berkala perlu dilakukan sepanjang tempoh hamil untuk memastikan keadaan dan juga kedudukan janin.

Dalam kebanyakan pesakit, mereka berjaya melahirkan bayi seperti biasa dan tidak perlu menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:00 AM