RUANG di Commune Lifestyle menyuntik idea tata hias buat anda.
KONSEP Commune Lifestyle mengambil kira pelbagai aspek.
SEGALANYA diselarikan dengan gaya hidup.
SUSUN atur perabot dan perhiasan membuatkan anda lebih dekat dengan alam.
Oleh Hartini Mohd Nawi
hartini@mediaprima.com.my


Seni penataan mempunyai tafsiran dan keindahan yang sukar digambarkan kerana ia bergantung kepada pemiliknya.

Bagi mewujudkan persekitaran segar, gaya dekorasi berkembang seiring kemodenan dan keperluan generasi hari ini.

Idea baru yang mengekalkan elemen tradisional dan moden meletakkan Commune Lifestyle antara terbaik.

Tatahias sempurna diilhamkan dengan latar belakang bersih dan mudah disesuaikan dengan perabot serta aksesori pilihan.

Material perabot yang berasaskan kayu oak, lantai simen dan logam hitam di ruang pameran itu mencipta nuansa reka bentuk moden serta desa.

Malah, penggayaan di ruang itu lebih eksklusif kerana ia dibantu siling dan kaca yang tinggi serta persekitaran menarik.

Pada masa sama, konsep yang cuba diketengahkan Commune Lifestyle itu dilihat memberi penekanan kepada suasana dekorasi sederhana dan lebih mesra alam.

Konsep Commune Lifestyle bagi membolehkan pelanggan menterjemah­kan idea terbaik di kediaman sendiri.

Menurut Pengarah Urusan Commune Furniture (M) Sdn Bhd, Yap Mon Kuang, konsep Commune Lifestyle itu turut me­ngambil kira keselesaan dan keperluan masyarakat negara ini.

"Aspek kepekaan kepada lima deria rasa juga kami adaptasikan sepenuhnya pada penggayaan ruang pameran ini supaya sesiapa saja yang datang lebih mengenali banyak perkara.

"Dari seni dekorasi, keutuhan material hingga reka letak mengikut kesesuaian.

"Semuanya cuba dikongsi dalam melihat kesederhanaan tanpa mengabaikan gabungan elemen tradisional dan moden," katanya ketika majlis pelancaran Commune Lifestyle di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika memperincikan keindahan seni dekorasi yang ada pada Commune Lifestyle itu, ia turut membayangkan ruang eksklusif untuk berkomunikasi, berkongsi gaya hidup yang harmoni.

Secara tidak langsung konsep berkenaan memung­kinkan ruang kediaman untuk penyesuaian diri dengan persekitaran yang lain di sekeliling, budaya dan aliran selari kemodenan.

"Setiap individu mempunyai cita rasa unik dan berbeza. Atas alasan itulah kami menyediakan keperluan perabot dan aksesori hiasan dengan pelbagai gaya dan aliran.

"Bagi memberi kebebasan, pakar pereka hiasan dalaman kami sedia membantu," kata Yap.

Dekorasi mesra alam

Warna perabot dan aksesori hiasan di Commune Lifestyle membuatkan anda begitu dekat dengan alam.

Penggunaan warna semula jadi dengan material berasaskan bahan asli cukup menggambarkan keindahan konsep dekorasinya.

Material kayu oak, lantai simen dan logam hitam berupaya mencipta nuansa reka bentuk moden serta desa.

Apatah lagi konsep 'budaya hijau' turut dikete­ngahkan selari gaya hidup masa kini dan jelas kelihatan pada setiap reka bentuk produk.

Dibantu pencahayaan semula jadi dan lampu hiasan terpilih, suasana sentiasa nyaman, harmoni serta santai.

Kunjungi Commune Lifestyle di No 88, Jalan Maarof, Bukit Bandaraya, Bangsar, Kuala Lumpur atau layari Facebook Commune Furniture Kuala Lumpur untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:01 AM