Kuala Lumpur: Skuad memanah negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila trio wanita compound memastikan sekurang-kurangnya sebutir pingat gangsa di Kejohanan Memanah Asia ke-19 yang berlangsung di Bangkok, Thailand semalam.

Gandingan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nor Rizah Ishak, dan Saritha Cham Nong menamatkan kemarau pingat pemanah negara selepas kali terakhir memenangi dua emas dan dua perak pada edisi 2011.

Terdahulu trio negara terpaksa akur kepada kehebatan Korea pada separuh akhir untuk melangkah ke penentuan gangsa menentang Taiwan yang dikejutkan India pada satu lagi aksi separuh akhir.

Mereka akhirnya memastikan tempat ketiga apabila menewaskan lawan dengan mengumpul 229 mata berbanding Taiwan, 222.

“Walaupun persediaan tidak rapi seperti Sukan SEA baru-baru ini, kami gembira masih mampu menyumbang pingat gangsa.

“Seperti aksi separuh akhir, kami tidak pernah berputus asa dan memberikan yang terbaik menerusi setiap panahan kerana lawan (Taiwan) pasukan pilihan kedua kejohanan,” kata Fatin yang meraih tiga emas di Sukan SEA Singapura.

Kejayaan dalam acara berpasukan itu berjaya menebus kegagalan Nor Rizah yang terlepas gangsa acara individu.

Dia terpaksa akur kepada pemanah Taiwan Ting Ting Wu, yang turut beraksi dalam acara berpasukan, tewas dengan perbezaan tujuh mata.

Harapan utama kepada juara Asia 2011 Khairul Anuar Mohamad bagaimanapun tidak kesampaian apabila kecundang pada suku akhir kepada pemanah Korea Lee Seungyun dalam recurve individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:09 AM