PENGALAMAN berlakon filem ini membuatkan McConaughey berasa seperti benar-benar menjelajah
HATHAWAY hampir pengsan berlakon filem ini.
ANTARA babak menarik dalam filem arahan Christopher Nolan.
Susunan Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Bayangkan populasi manusia pada masa depan semakin berkurangan akibat bencana alam dan kepupusan sumber bumi.

Dalam usaha memastikan manusia terus wujud, saintis meneroka angkasa lepas untuk mencari planet baru.

Begitulah jalan cerita yang bakal disaksikan penonton dalam filem fiksyen sains berjudul Interstellar yang kini ditayangkan di pawagam.

Idea pengarah Christopher Nolan menghasilkan karya berkonsepkan sedemikian diilhamkan daripada beberapa filem mengisahkan angkasa lepas iaitu After Earth, Titan A E dan Wall E.

Beliau turut mengambil inspirasi daripada filem Serenity dan Elysium.

Filem itu dijayakan barisan bintang popular Hollywood seperti Matthew McConaughey, Anne Hathaway, Jessica Chastain, Michael Caine dan Mckenzie Foy.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam Interstellar, Hathaway mendedahkan amat menggemari sut angkasawan yang dipakaikan dalam filem itu.

"Saya teruja sebaik menjejakkan kaki ke dalam set penggambaran, lebih-lebih lagi ketika memakai sut angkasawan.

Peluang memakai sut itu ibarat memperagakan kostum untuk sambutan Halloween," katanya.

Namun disebalik keseronokan itu, pelakon berusia 31 tahun itu berkata, dia hampir diserang hipothermia kerana berlakon dalam air sejuk selama beberapa jam.

"Saya dapat merasakan jari kaki kaku selain seolah-olah hendak pengsan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pembantu pengarah," katanya.

Tambahnya lagi, sut angkasawannya bocor sebaik memasuki air dan dia hanya memakai pakaian sukan berkayak.

Dalam filem itu, Hathaway bersama McConaughey memegang watak sebagai angkasawan yang meneroka planet yang berpotensi menjadi habitat baru manusia.

McConaughey pula menyifatkan pengalamannya berlakon dalam filem itu menakjubkan kerana seolah-olah menjelajah jauh ke angkasa lepas.

"Sut angkasawan sebenar seberat 45 kilogram tetapi sut yang dipakai dalam set adalah 18 kilogram.

"Saya boleh bergerak dengan mudah cuma tidak dapat melompat dan meloncat tinggi seperti di angkasa," katanya.

Paling mencabar bagi pelakon itu adalah beraksi dalam sut angkasawan di kawasan glasier di Iceland.

"Kami berlakon dalam angin berkelajuan 80 kilometer sejam yang dihasilkan dengan bantuan beberapa helikopter," katanya.

SINOPSIS

Murphy mempercayai biliknya dihuni makhluk halus yang cuba berkomunikasi dengannya menerusi tenaga graviti selain sering menolak buku daripada rak.

Berikutan itu, ayahnya, Cooper yang juga bekas juruterbang menceritakan kejadian aneh itu kepada saintis NASA.

Saintis berkenaan mempercayai mereka berjaya menemui spesies baru makhluk asing yang tinggal di dimensi lain.

Profesor Brad kemudian mengupah Cooper untuk mengendalikan kapal angkasa ke satu planet bagi mengenal pasti kesesuaian habitatnya.

Misi itu turut disertai anak perempuan Brad, Amelia serta beberapa kru lain termasuk dua robot.

Ketika mendarat di planet Miller, berlaku kejadian tidak diingini. Disebabkan daya tarikan graviti, pasukan itu menghabiskan tempoh 23 tahun di planet berkenaan.

Adakah Cooper dan krunya berjaya memperoleh data yang diperlukan di planet berkenaan? Saksikan kesudahan filem Interstellar yang kini ditayangkan di pawagam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:01 AM