Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kewujudan Kelab Pelabur Hartanah (KPH) pada masa ini dilihat tumbuh bak cendawan dan kegiatan kelab ini ada daripadanya mampu memanipulasi harga hartanah.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Salkukhairi Abd Shukor berkata, KPH merujuk kepada kerjasama ‘pintar’ antara sekumpulan pelabur hartanah dengan pemaju untuk membeli projek perumahan baru yang dilancarkan oleh pemaju terbabit.

Beliau berkata, antara fungsi kumpulan kelab itu juga akan membeli secara pukal daripada pemaju di peringkat awal pelancaran projek sehingga membolehkan pemaju memberikan tawaran diskaun yang lebih lumayan kepada mereka.

“Dengan harga diskaun yang diperoleh, mereka seterusnya akan menjualnya pula kepada pembeli dengan harga pasaran semasa. Sekali gus, mereka dapat membuat keuntungan atas angin dengan lumayan.

“Bagi saya, KPH sedemikian sepatutnya tidak perlu diwujudnya kerana ia salah satu taktik kotor dan tidak sihat yang dimainkan oleh spekulator hartanah dalam mempengaruhi kenaikan harga sesuatu hartanah,” katanya.

Menurutnya, taktik itu bukan sahaja menjadikan harga hartanah lebih mahal daripada biasa, bahkan akan menyekat peluang pembeli tulen untuk membeli hartanah pada harga asal terus daripada pemaju.

Salkukhairi berkata, sudah pasti kewujudan kelab sedemikian akan memberi kesan negatif kepada industri hartanah itu sendiri dan boleh menyebabkan harga rumah terus meningkat pada kadar tidak sihat.

“Ini kerana wujud ‘close deal’ (rundingan muktamad) antara pemaju dan kelab terbabit bagi setiap projek perumahan baru yang dibangunkan.

“Kesannya adalah pemaju tidak akan teragak-agak untuk membangunkan projek perumahan mewah dengan harga jualan yang tidak masuk akal kerana mereka tahu, sudah ada pihak yang akan dan sanggup membeli hartanah berkenaan daripada mereka secara pukal,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini juga akan menyekat kuasa beli rakyat golongan bawahan atau pertengahan terhadap hartanah baru dan akhirnya, hanya golongan berpendapatan mewah dan pelabur asing sahaja yang mampu membelinya serta akan menyebabkan ketidakstabilan kuasa beli hartanah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, katanya, setakat ini, masih belum ada akta atau peruntukan undang-undang yang khusus untuk mengawal atau menghalang aktiviti spekulasi hartanah ini.

“Saya percaya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan beberapa syarat baharu berkaitan penjualan hartanah secara pukal dalam permit iklan dan jualan pemajuan perumahan bagi projek baharu yang dilesenkan.

“Langkah kerjasama pintar antara agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sendiri diwujudkan untuk memantau serta merangka strategi mengawal aktiviti kelab berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:06 AM