KAYU palet sebagai material utama termasuk pelantar kayu, meja dan pagar taman untuk ruang santai.
SESUAI digunakan untuk tanaman.
RUANG taman lebih tersusun apabila kayu palet digunakan dengan sebaik-baiknya.
KAYU palet juga boleh mejadi latar atau tempat untuk anda menyelenggara tanaman dalam pasu.
RUANG pejalan kaki dilengkapkan dengan deretan kayu palet.
KAYU palet juga boleh diubah suai menjadi bangku atau buaian.
Oleh Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Apabila ‘The Pallet House’ karya I-Beam Design, iaitu firma rekaan dan arkitektur yang berpangkalan di New York memenangi anugerah pada tahun 1999, penggunaan kayu palet menarik perhatian umum.

Binaan rumah itu antara penyelesaian dan menjadi penempatan pelarian Kosovo dengan idea reka bentuk yang mempertahankan kelebihan kayu palet pada rongga dinding serta secara tidak langsung menjadi tempat perlindungan selamat.

Pada tahun 2008 pula, dua pelajar Australia iaitu Andreas Claus Schnetzer dan Gregor Pils dari University of Vienna, mencipta rumah palet.

Rumah itu menjadikan kayu palet sebagai bahan utama binaan untuk membentuk modular sekali gus menawarkan tenaga perumahan cekap dan berbaloi.

Menerusi pertandingan, karya pelajar ini turut dipamerkan di beberapa bandar Eropah termasuk Venice, Vienna, Linz dan Grenoble. Ia antara pendekatan yang bijak untuk perumahan berpendapatan rendah.

Kayu palet biasanya boleh ditemui di kawasan perindustrian atau pasar raya dan menjadi asas kepada reka bentuk beban unit.

Ia ialah struktur pengangkut rata yang digunakan untuk mengalas kontena ketika diangkut foklif atau jek palet.

Kayu palet itu memang kuat dan tahan lasak kerana dihasilkan untuk tampung berat barangan serta dibuang selepas digunakan.

Kebanyakan kayu palet boleh menampung beban hingga 1,000 kilogram.

Hari ini, berbilion kayu palet dikeluarkan setiap tahun dan hampir dua bilion digunakan di Amerika Syarikat saja.

Kini penggunaan kayu palet semakin meluas khususnya dalam dekorasi dan binaan taman menarik serta mesra alam.

Malah taman yang didatangkan dengan konsep pilihan yang semula jadi sering menjadikan kayu palet sebagai material utama termasuk bangku, pasu bunga dan pagar taman.

Malah taman vertikal juga banyak dilengkapi dengan material berkenaan. Apatah lagi kayu palet antara alternatif menghias taman segera.

Ditambah dengan sifat kayu palet itu sendiri yang mudah dikitar semula jika sesekali ingin mengubah suasana taman.

Tanpa perlu berbelanja besar, anda boleh ketengah kreativiti menghasilkan rekaan menarik berasaskan kayu palet.

Anda hanya melalui beberapa langkah mudah, fikirkan fungsi atau reka bentuk yang bakal anda hasilkan dan kedudukan atau susun atur di taman.

Dapatkan kepingan kayu palet yang sesuai, gunakan kertas pasir untuk meratakan ke permukaan atau bahagian yang kasar.

Cantumkan kedua-dua kepingan itu menggunakan paku atau lekatkan dengan skru supaya ia benar-benar kukuh dan dapat menampung beban.

Sementara itu, gunakan lebihan kepingan tadi untuk dijadikan tapak tanaman. Letakkan jaring atau pelapik yang tahan air di dalam rekaan bekas tanaman palet itu.

Rumput kering, jerami, tanah yang dicampurkan baja kompos atau sabut kelapa. Teknik atau kaedah penghasilan rekaan sama boleh diketengahkan pada dinding taman untuk mencipta konsep taman vertikal.

Bagi ruang dalaman rumah pula, penggunaan kayu palet banyak diaplikasikan termasuk tempat penyimpanan barang, perabot seperti katil, meja kopi, kabinet kasut, rak buku dan aksesori hiasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:03 AM