BOLEH bebas bergaya secara sopan.
BOLEH bebas bergaya secara sopan.
BOLEH bebas bergaya secara sopan.
BOLEH bebas bergaya secara sopan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Industri fesyen Muslimah di negara ini memperlihatkan perkembangan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga lahirnya ribuan butik menyediakan busana yang semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita Islam.

Pemakaian jubah atau fesyen Muslimah yang mengikut syariat tidak terhad buat wanita dewasa saja, malah semakin diminati kanak-kanak perempuan.

Justeru, H&F Exclusive Jubah Kids mengambil peluang itu untuk terus mengembangkan penerokaan dalam industri fesyen kanak-kanak yang jarang diterokai terutama fesyen Muslimah.

Pengasasnya, Hasbullah Hamizan dan isteri, Nur Farhana Ahmad berkata, jika ramai memilih untuk fokus terhadap fesyen wanita sebagai sumber perniagaan, dia dan isterinya merasakan jubah untuk kanak-kanak perempuan masih kurang menonjol.

“Tercetusnya idea penubuhan butik dalam talian kanak-kanak Muslimah ini apabila saya sering menemani isteri membeli pakaian di butik dalam talian yang terkenal, dari situ saya terfikir untuk menghasilkan jubah khas untuk kanak-kanak.

“Kami membuat kajian mengenai rekaan, permintaan pelanggan dan material kain di samping melawat butik sedia ada sebagai sumber inspirasi. Berbekalkan ilmu pemasaran dalam talian yang saya peroleh sebelum ini, kami memulakan bisnes ini dengan membuat kedai dalam talian di Facebook,” katanya.

Memulakan perniagaan jubah kanak-kanak itu Mei lalu, koleksi pakaian butik itu dipastikan supaya patuh syariah, berkualiti tinggi, eksklusif, sesuai dan selesa dipakai kanak-kanak dengan harga berpatutan.

Di samping kanak-kanak boleh bebas bergaya, pasangan suami isteri itu juga ingin pelanggan cilik mereka berasa gembira dan cantik apabila menutup aurat dengan jubah yang dihasilkan, sekali gus mendidik kanak-kanak seawal usia untuk membiasakan diri dengan pakaian yang sopan dan menutup aurat.

Jubah kanak-kanak H&F Exclusive direka agar sesuai dipakai untuk apa jua majlis bertemakan kasual, majlis perkahwinan yang formal mahupun makan malam istimewa.

“Kami mempunyai variasi rekaan daripada ringkas dan menarik sehinggalah rekaan elegan dan anggun untuk digayakan kanak-kanak pada bila-bila masa.

“Oleh kerana tumpuan rekaan kami adalah kanak-kanak, warna ceria, lembut dan comel seperti warna pastel dipilih sebagai tarikan untuk mereka seperti satu contoh rekaan terbaru kami, Anna Jubah. Untuk rekaan jubah lain seperti Medina Royal Jubah, sesuai dengan namanya, kami memilih warna yang melambangkan kemewahan seperti puteri raja,” katanya.

Dari segi pilihan material, antara yang menjadi kegemaran mereka adalah satin dan Italian valentro yang berkualiti tinggi untuk menghasilkan jubah selesa dan cantik apabila terletak pada badan kanak-kanak ketika digayakan di samping bagi menampakkan elemen kemewahan berbanding material lain.

Mereka turut mengekalkan identiti rekaan termasuk elemen lipatan yang memberi kesan potongan jubah kelihatan lebih menarik dan lebih cantik di dalam gambar.

“Syukur, eksperimen pertama kami iaitu Medina Royal mendapat sambutan amat menggalakkan dan siapa sangka kami memperoleh hasil jualan RM8,500 dalam tempoh kurang dua minggu dipasarkan.

“Permintaan terhadap koleksi itu bukan saja dari dalam negara malah pelanggan dari negara jiran seperti Singapura. Kami berbesar hati kerana rata-rata memberikan maklum balas berpuas hati dengan kualiti jubah yang dihasilkan.

“Ada antara maklum balas yang melucukan apabila anaknya terlalu gembira memakainya sehingga enggan membuka semula jubah yang dipakai,” katanya.

Setakat ini harga jualan bagi koleksi butik itu bermula RM60 hingga RM90 saja kerana mereka mahu pelanggan berpuas hati mendapatkan rekaan eksklusif dengan harga berpatutan.

Mereka juga berhasrat untuk memiliki butik fizikal pertama di sekitar Shah Alam dan merancang untuk menjadikan butik itu berkonsep tempat beli-belah yang mesra kanak-kanak.

Ia termasuk menyediakan tempat khas seperti konsep ‘wardrobe’ untuk mereka bergaya dengan koleksi yang terdapat di butik itu selain berhasrat menghasilkan lebih 10 rekaan termasuk rekaan untuk kanak-kanak lelaki serta mewujudkan rekaan tudung atau selendang segera untuk golongan itu.

Buat masa ini, butik itu beroperasi melalui Facebook dan Instagram (Little Fana) serta ejen jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:02 AM