SHUHADA MANSOR mahu Gen Y kurangkan pengambilan dua jenis minuman untuk kebaikan tubuh badan dan kesegaran seharian.

Pelbagai jenis minuman tersedia di pasar raya dan kedai serbaneka. Ada antaranya dikatakan mampu meningkatkan tenaga atau menghilangkan dahaga. Ketahui dua jenis minuman yang disarankan untuk kita kurangkan pengambilannya.

Diet soda

Lihat saja perkataan ‘diet’ di tin minuman akan terus membuatkan kita terfikir minuman itu sesuai untuk diambil ketika sedang diet. Jangan cepat terpengaruh, fikir sebaiknya!

Ini kerana, menurut kajian dijalankan Universiti Texas, individu yang meminum diet soda lebih berisiko tinggi untuk gemuk iaitu 70 peratus berbanding peminum soda biasa. Penggemar diet soda biasanya akan mengambil lebih banyak kalori daripada makanan. Bukan itu saja, Tim Goodson daripada Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg, Amerika Syarikat memberitahu, ramai orang berfikir perkataan ‘rendah lemak’ , ‘kurang gula’ atau ‘light’ bererti mengandungi kalori sedikit tapi hakikatnya ia tidak benar.

“Biasanya, mereka hanya akan kurangkan satu saja bahan daripada kategori biasa tapi rasa produk tetap sama. Kurangkan satu bahan dan tambahkan elemen lain seperti gula,” katanya.

Minuman tenaga

Kita bukannya melakukan kerja berat untuk perlu meminum minuman penambah tenaga setiap hari. Banyak kedai dan pasar raya menawarkan pelbagai jenis minuman peningkat tenaga yang disasarkan kepada yang suka olahraga.

Berjaga-jaga kerana minuman penambah tenaga selalunya mengandungi kandungan kafein lima kali ganda daripada kopi serta mengandungi 50 gram gula setiap botol (bersamaan 13 sudu teh gula). Memang benar minuman ini akan buatkan kita rasa lebih aktif, namun khasiatnya tak lama dan akan akhirnya menjadikan kita lebih letih. Itu kesan jangka pendek, bagaimana untuk jangka masa panjang? Fikirkan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:00 AM