Mukhriz (dua dari kanan) mendengar taklimat penghasilan baja padi daripada Saipolbahari (dua dari kiri) ketika lawatan kerja ke kilang MNFSB.
Oleh Nur Syazwana Mansor
bisnes@hmetro.com.my

Gurun: Kilang pengeluaran baja sebatian Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) mengorak langkah menghasilkan baja baru yang dapat meningkatkan hasil pertanian, sekali gus menambah pendapatan peladang di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, MNFSB bakal mengeluarkan formula baja padi baru dengan mengabungkan baja sedia ada dan silikon.

Menurutnya, formula baja itu dikenal pasti dengan menggabungkan teknologi terbaru dari luar negara dan dijangka dipasarkan dalam negara pada awal Januari depan.

“Kita kini dalam proses mengimport silikon dari luar negara sebelum mencampurkan baja padi dengan bahan berkenaan yang dibuat pada bulan depan.

“Formula baru ini dicipta untuk meningkatkan hasil padi di negara ini walaupun keluasan kawasan penanaman padi masih sama,” katanya pada sesi Lawatan Kerja Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke kilang MNFSB, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail, Pengerusi

Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Abdul Lateh Mohd Saman dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kedah, Datuk Ismail Salleh.

Kilang MNFSB ditubuhkan secara usaha sama antara NAFAS dan Petronas Chemical Fertilizer Kedah Sdn Bhd.

Saipolbahari berkata, dengan terciptanya formula baja padi silikon berkenaan, pihaknya menjangkakan pertambahan hasil padi daripada 12 kepada 52 rumpun anak padi dalam satu masa.

“Selain itu, dari segi kepanjangan tangkainya juga akan mengalami peningkatan daripada 30.48 sentimeter kepada 60.96 sentimeter.

“Dari segi kekuatan batang padi itu pula ia akan menjadi lebih kuat berbanding sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 1:11 PM