Oleh Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam serbuan di Diamond Square, Gombak pada 1 tengah hari semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata, hasil serbuan berkenaan, pihaknya menemui 51 pasport Filipina, satu pasport Indonesia, dua MyKad dan sembilan pelekat PLKS bercetak disyaki palsu.

"Selain itu, antara yang berjaya ditemui ialah satu cop keselamatan imigresen disyaki palsu, satu cop keluar imigresen Filipina disyaki Palsu, satu set komputer serta wang tunai RM2,220.

"Kita turut menahan perancang utama sindiket ini iaitu lelaki warga tempatan berusia 56 tahun dan disyaki melakukan perbuatan ini lebih lima bulan lalu," katanya pada sidang media hari ini.

Mustafa berkata, pihaknya mencari seorang wanita Filipina Marilyn Obsioma Caadlawon berusia 46 tahun iaitu pembantu rumah lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 2:12 PM