PELANGGAN mendapatkan khidmat cucian rambut.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Pelanggan yang datang tanpa mengira usia. Ada golongan remaja ingin mendapatkan gaya dandanan rambut terkini, ada pula wanita berkerjaya yang tentunya ingin memastikan rambut dalam keadaan segar dan sihat kerana bertudung manakala wanita berusia sekadar ingin memanjakan diri sambil meminta rambut dibelai pendandan rambut.

Jika kebanyakan wanita mengunjungi pusat kecantikan untuk mencantikkan wajah dan membelai tubuh, namun bagi pemilik Imaleen Beauty Studio, Norehan Harun, dia mempunyai alasan tersendiri apabila membuka salun dan spa bagi memberi peluang kepada wanita mendapatkan khidmat dandanan rambut, kecantikan wajah dan badan di tempat yang sama. Tambahan pula tidak banyak salun menyediakan perkhidmatan dandanan khas untuk Muslimah dan dilakukan ahli terapi Muslimah terlatih.

Dia yang mempunyai dua cawangan pusat kecantikan sebelum ini iaitu di Plaza Metro Kajang dan Seksyen 1, Bandar Baru Bangi turut mengetengahkan konsep sama iaitu rawatan rambut, wajah dan badan di cawangan ketiga Bangi Sentral.

Menurut Norehan, menyedari kebanyakan wanita bertudung dan inginkan khidmat dandanan daripada pendandan berkonsepkan salun Muslimah menyebabkan dia menyediakan perkhidmatan cucian, memotong rambut, mewarna, rawatan untuk rambut kering, berbuah, kelemumur dan rambut gugur.

“Daripada pemerhatian, wanita bertudung kurang memberikan perhatian kepada masalah rambut berbanding wajah dan badan. Jika setiap bulan mereka sanggup menghabiskan duit menjalani rawatan wajah, tetapi untuk rambut mereka mengabaikannya dan hanya mencuci di rumah. Akibatnya rambut menjadi kering, terlalu berminyak atau lebih teruk berkelemumur,” katanya.

Tambahnya, bukan tidak boleh melakukan perawatan sendiri di rumah, jika rambut tidak menghadapi masalah tidak mengapa. Untuk mereka yang mengalami masalah teruk seharusnya membuat pemeriksaan di salun agar ubat-ubatan dan syampu sesuai dapat diberikan.

Bagi mereka yang sering mencuci rambut, sebaiknya cuci dua hari sekali untuk mengelak rambut menjadi kering. Wanita bertudung dinasihat mengeringkan rambut terlebih dulu sebelum memakai tudung. Ini mengelak rambut menjadi rosak atau berbuah. Gunakan syampu sesuai untuk jenis rambut berbeza dan jangan mengabaikan penggunaan perapi kerana syampu sememangnya dihasilkan bersama perapi yang akan memberikan kesan pada rambut sehingga ke akarnya.

“Berdasarkan pengalaman, ramai wanita malas menggunakan perapi kerana berasa leceh dan tidak sempat. Perapi mempunyai pelbagai fungsi yang antara lain mencegah rambut kering dan gugur. Apabila wanita mengabaikannya ia menyebabkan akar rambut tidak lagi kuat. Seeloknya perapi dipakai selepas mencuci rambut dan disapu pada bahagian atas rambut saja dan bukannya sehingga ke akar. Inilah antara nasihat dan panduan yang akan diberikan sekiranya pelanggan datang sendiri mendapatkan rawatan rambut di sini,” katanya.

Untuk masalah kelemumur yang teruk, ahli terapi akan membuat pemeriksaan pada rambut dan kulit kepala sebelum rawatan diberikan. Ini bagi memastikan jenis syampu sesuai dapat diberikan kepada pelanggan.

Ada rawatan wajah dan badan

Berkonsepkan pusat kecantikan tiga dalam satu, Imaleen Studio turut menyediakan rawatan menegangkan kulit wajah menggunakan mesin khas. Ia memberi tumpuan kepada wanita pertengahan usia yang inginkan kulit cantik dan kembali anjal disebabkan faktor usia dan pemakanan.

Menerusi rawatan ‘menaikkan’ wajah, kulit melalui proses urutan menggunakan peralatan khas yang bertindak meremajakan kulit. Ia boleh dilakukan dua kali sebulan untuk kesan yang optimum.

Mula dibuka pada Jun 2015, Imaleen Beauty Studio diharap dapat menjadi pusat sehenti untuk wanita di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya. Ini kerana selain rambut dan wajah mereka juga boleh mendapatkan urutan aromaterapi yang dapat memberikan kelegaan kepada tubuh selepas penat bekerja.

Kebanyakan wanita berkerjaya sering mengakui penat dan tertekan apabila berada di pejabat hampir lapan jam sehari. Apabila pulang ke rumah mereka terpaksa menyelesaikan tugasan seperti memasak, mengemas dan menjaga anak.

“Keadaan ini menyebabkan jiwa tertekan, badan letih dan penat, hilang selera makan dan urat saraf menjadi tegang. Teknik urutan yang tidak terlalu kuat bersama minyak aromaterapi akan memberikan ketenangan kepada wanita lantas mengurangkan rasa letih, malas atau mengantuk. Urutan aromaterapi boleh dilakukan dua kali sebulan atau sekali sebulan,” katanya.

Bagi wanita yang ingin mendapatkan khidmat dandanan rambut, wajah atau urutan wajah, Imaleen Beauty Studio dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 8 malam. Untuk memudahkan urusan pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dulu dengan melayari Facebook Imaleen Beauty Studio.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 12:16 PM