MOHD Syafie di Butik Muslimah D’yana.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jubah Emas Global Sdn Bhd, menyasarkan untuk membuka 50 cawangan D’yana yang mengetengahkan produk pakaian Muslimah dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Mohd Syafie Borhan berkata, buat masa ini pihaknya mempunyai enam cawangan dan merancang membuka lima lagi rangkaian D’yana menjelang akhir tahun ini dengan terbaharu di Bangi.

Katanya, syarikat berada di landasan yang tepat untuk meluaskan rangkaian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berikutan menerima permintaan daripada pelanggan.

“Kami sudahpun mendaftar untuk menjadi francaisor dan akan menawarkan francais kepada mereka yang berminat membuka cawangan D’yana dengan modal dianggarkan antara RM250,000 hingga RM300,000 bergantung kepada lokasi, saiz dan stok.

“Setakat ini, kami juga mempunyai lebih 8,000 wakil penjual di seluruh Malaysia termasuk Singapura serta Brunei dan untuk itu, kami turut merancang menembusi pasaran kedua-dua negara terbabit dalam tempoh tiga tahun,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, D’yana menawarkan bukan sahaja pakaian Muslimah, malah tudung serta kelengkapan lain menerusi penghasilan di kilangnya sendiri.

“Kami berusaha memberi yang terbaik untuk pelanggan dan kami juga menerima pertanyaan untuk membuka cawangan di Ipoh, Terengganu dan Melaka. Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web www.dyana.com.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 7:06 AM