Rokok elektronik (kiri) dan vape (kanan). - Foto NSTP/rokokelektronik.com

Putrajaya: Kementerian Kesihatan kekal dengan pandangan dan keputusan rokok elektronik bernikotin perlu diharamkan.

Menegaskan demikian, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, penggunaan rokok jenis itu boleh merosakkan kesihatan masyarakat dalam jangka masa panjang.

Katanya pihak kementerian tidak akan menyokong aktiviti menyumbang ke arah peningkatan masalah kesihatan masyarakat terutama generasi muda.

Beliau berkata keputusan itu juga dicapai selepas kajian Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Kesan Rokok Elektronik dan Shisha Terhadap Kesihatan yang turut mengsyorkan kepada kerajaan agar mengharamkan penggunaan rokok elektronik.

Menurut Lokman, Kementerian Kesihatan mentakrifkan rokok elektronik mengandungi nikotin dikenali sebagai e-rokok manakala rokok elektronik yang tidak mengandungi nikotin adalah vape.

"Tapi kebanyakan rakyat Malaysia tidak dapat membezakan e-rokok dan vape. Pada mereka vape, e-rokok benda yang sama. Selain itu, ada juga cecair vape yang bernikotin," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Lokman berkata hanya ahli farmasi berlesen dalam premis berlesen boleh menjual produk mengandungi nikotin bagi membantu memulihkan ketagihan nikotin.

"Penjualan dan penggunaan cecair e-rokok mengandungi nikotin tertakluk di bawah peruntukan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 dalam Peraturan

Kawalan Tembakau 2004," katanya.

Sehubungan itu, Lokman berkata kementerian akan mengambil tindakan terhadap penjual dan pengguna rokok elektronik mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan menggiatkan kempen anti rokok elektronik dan vape seperti kempen 'Tak Nak Merokok'.

"Pesanan kementerian kepada masyarakat ialah janganlah menggunakan rokok elektronik atau vape kerana ia memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 6:41 PM