Pandikar ulangi pendiriannya bahawa debat umum mengenai 1MDB sewajarnya dibuat selepas laporan siasatan PAC dibentangkan kepada Dewan Rakyat. FOTO Salhani Ibrahim
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengulangi pendirian bahawa debat umum mengenai 1Malaysia Development Berhad(1MDB) sewajarnya dibuat selepas laporan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dibentangkan kepada Dewan Rakyat

Menurutnya, beliau tidak menghalang jika kedua-dua pihak iaitu Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) mahu terus berdebat.

"Saya tidak menghalang perbahasan, (tetapi ) harus dibuat selepas penyata akaun dibentangkan dalam Majlis. Itu pemikiran saya dan saya berpegang teguh atas pendirian ini. Maka saya tidak teragak-agak (meletak jawatan Speaker)," katanya terhadap soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang memohon penjelasan berhubung keputusan dibuat Speaker berkenaan debat antara Tony dan Arul Kanda.

Pandikar Amin berkata, Tony yang pertama membangkitkan isu 1MDB di Parlimen serta membuat cabaran untuk berdebat dengan Arul Kanda.

"Saya tidak mengerti mengapa perbahasan itu tidak boleh ditangguhkan sehingga penyata akaun dibentangkan kepada Majlis," katanya.

Beliau turut memberi contoh kes seorang ahli parlimen di Australia pada 1993 yang menjadi ahli satu jawatankuasa dilarang terbabit dalam siasatan jawatankuasa itu apabila mengeluarkan kenyataan berhubung kes yang sedang disiasat.

Katanya, sebab itu beliau terpaksa campur tangan dengan membuat keputusan bagi mengelak konflik kepentingan memandangkan Tony adalah anggota PAC yang menyiasat 1MDB dan Arul Kanda adalah saksi siasatan itu.

"Jika itu menjadi masalah kepada kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang), maka rasa saya, tidak boleh pertahankan integriti sebagai Speaker Parlimen.

"Jangan lagi panjangkan (bahas ini). Terpulang kepada kerajaan dan pembangkang untuk tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 1:34 PM