SEORANG penunjuk perasaan Palestin melontar batu ke arah pengawal sempadan Israel berhampiran tembok kontroversi yang memisahkan bandar Abu Dis dengan timur Baitulmaqdis, semalam.

Baitulmaqdis: Parlimen Israel semalam mengundi untuk mengenakan hukuman penjara minimum tiga tahun terhadap mereka yang didapati bersalah melontar batu untuk menyerang polis dan tentera rejim itu.

Keputusan itu diambil beberapa minggu selepas pemimpin rejim Benjamin Netanyahu mengisytiharkan perang terhadap mereka yang terbabit.

Ia diluluskan dengan undi 57 menyokong dan 17 menentang ketika kekacauan di Israel dan Tebing Barat yang dijajahnya memasuki bulan kedua.

Undang-undang baru itu disokong kerajaan Netanyahu.

September lalu, perdana menteri rejim itu berikrar untuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas pelontar batu selepas seorang lelaki Yahudi mati dalam kemalangan, kononnya selepas diserang dengan batu oleh penduduk Palestin.

Sejak itu, penunjuk perasaan meningkatkan serangan mereka terhadap polis, askar dan orang awam Israel di Tebing Barat dengan batu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 6:45 AM