Madrid: Penjaga gol Real Madrid Keylor Navas percaya kejayaan menundukkan Paris Saint-Germain awal pagi esok bakal menjadi pembuka laluan buat mereka menjulang Liga Juara-Juara musim ini.

Madrid bakal layak ke kelompok 16 pasukan terakhir dan bergelar juara kumpulan jika berjaya menghadirkan kekalahan pertama juara Perancis itu musim ini di Santiago Bernabeu.

“Kami semua mahu memenangi Liga Juara-Juara, ia adalah salah satu impian kami,” kata penjaga gol antarabangsa Costa Rica itu kepada laman web rasmi Madrid.

“Kami sedang bersedia untuk menghadapi setiap perlawanan untuk mendapatkan keputusan yang kami inginkan tetapi kami harus menghadapinya satu demi satu kerana kami perlu mengharungi perlawanan penting di dalam kumpulan serta di peringkat kalah mati nanti.

“Kami bermain sepenuh hati untuk memastikan kami layak ke final dan muncul juara.”

Tidak dapat dinafikan, Navas adalah antara nadi penting Madrid musim ini kerana dia melakar sembilan rekod bersih sepanjang 12 penampilan setakat ini.

Bekas penjaga gol Levante itu tidak beraksi ketika pasukannya menang 3-1 ke atas Las Palmas, Sabtu lalu akibat kecederaan otot tetapi dijangka kembali bermain untuk bertemu PSG.

Begitupun, Madrid akan turun tanpa Gareth Bale, James Rodriguez dan Karim Benzema kerana Rafael Benitez enggan mengambil sebarang risiko. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:07 AM