Ridzuan (kiri) dan Latif bersama pingat emas dimenangi pada kejohanan di Doha. - Pix NSTP/Osman Adnan

Sepang: Kejayaan skuad olahraga paralimpik di Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Doha mengumpul dua pingat emas dan tiga gangsa membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk ke Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro tahun depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kejayaan berkenaan merupakan pencapaian yang paling membanggakan buat skuad paralimpik negara.

"Atlet paralimpik negara berjaya membaiki pencapaian terdahulu di Lyon, Perancis pada 2013 yang mana kita hanya meraih satu pingat emas sahaja. Ini merupakan satu jalan yang baik buat mereka.

Insya-Allah selepas ini mereka akan membawa pulang pingat Rio pula. Bagi mereka yang telah membuat pencapaian terbaik, saya yakin mereka akan dipertimbangkan untuk menyertai program podium," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan atlet paralimpik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Shapawi berkata dengan adanya program podium yang bakal dilancarkan itu, atlet paralimpik akan menerima lebih perhatian dan peruntukan, serta sokongan yang lebih baik lagi.

Katanya, peruntukan bagi sukan paralimpik juga meningkat dari tahun ke tahun berikutan prestasi cemerlang mereka di kejohanan antarabangsa.

Melalui Skim Hadiah Kemenangan, pemegang pingat emas akan menerima RM80,000 dan pemilik pingat gangsa pula memperoleh hadiah sebanyak RM20,000.

Pada kejohanan IPC kali ini yang berlangsung bermula 22 hingga 31 Oktober Malaysia meraih dua pingat emas melalui Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh kategori T20 dan Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100m kategori T36.

Manakala tiga pingat gangsa pula adalah daripada Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru kategori F20), Mohamad Saifuddin Ishak (lompat jauh kategori T12) dan Siti Noor Iasah (400M kategori T20).

Sementara itu, Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, Mohd Safrushahar Yusoff berkata setakat ini hanya sukan berbasikal menerima slot ke Sukan Paralimpik Rio manakala sukan-sukan lain masih dalam proses kelayakan.

"Kelayakan ke Sukan Paralimpik Rio akan habis secara berperingkat bermula dari bulan Februari hingga Mei tahun depan. Kita jangkakan Mei tahun hadapan akan dapat senarai penuh atlet yang layak ke Rio.

Bagi saya, atlet olahraga yang berjaya ini merupakan salah satu tunjang dan harapan untuk Malaysia layak ke Rio," katanya kepada Bernama, di KLIA, hari ini.

Cawangan Paralimpik MSN menyasarkan lebih 20 atlet paralimpik dari lapan jenis sukan iaitu olahraga, angkat berat, renang, berbasikal, pelayaran, ping pong, memanah dan lawan pedang berkerusi roda layak ke Rio. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 7:00 PM