LAPAN individu termasuk seorang wanita dihadap di Mahkmah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan menculik dan membunuh ahli perniagaan. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Lapan individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik dan membunuh ahli perniagaan, September lalu.

Tertuduh, S Rajandran, 38; Yang Gui Zhong, 23; Loo Wei Beng, 27; Lau Koon Ping, 27; Yew Hooi Lyn, 47; Andy Teoh Wet Lun, 22; Leong Chiew Yang, 34, dan Lim Choon Ann, 22, mengangguk faham bagi kedua-dua pertuduhan selepas ia dibaca jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menahan Cheung Zi Hong, 22, untuk meminta wang tebusan RM50,000 di No 6, Jalan Sutera Utama 1/5, Taman Sutera Utama, Skudai, jam 1 petang, 28 September lalu.

Mereka turut didakwa melakukan pembunuhan menyebabkan kematian terhadap lelaki itu di No 54, Jalan Hang Tuah 3, Taman Ungku Aminah, Skudai, di sini, jam 10.15 malam, hari yang sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 3(1) Akta Colek 1961 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang kedua-duanya membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:12 PM