Calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Sultan Ibrahim membaca doa sebelum menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu 1. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


Johor Bahru : Seramai 50,064 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini membabitkan 292 sekolah di Johor.

Pengarah Pendidikan Negeri Aminudin Adam berkata, daripada jumlah itu, 43,681 adalah calon sekolah kerajaan, 1,041 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Giatmara, 113 calon Sekolah Agama Kerajaan Negeri, 3,073 calon sekolah swasta dan 2,156 calon persendirian.

Menurut Aminudin, calon terbabit menduduki SPM di 380 pusat peperiksaan yang dibuka di negeri ini dengan 3,514 petugas terdiri daripada penyelia kawasan, ketua pengawas dan pengawas peperiksaan.

Menurut Aminudin, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, pihaknya melantik 23 ketua pengawas yang bertugas di 23 hospital kerajaan dan swasta di negeri ini.

Beliau berkata, petugas terbabit sentiasa bersedia untuk mengendalikan calon yang mengambil peperiksaan di hospital.

Sementara itu, di Ipoh, 39,102 pelajar menduduki peperiksaan itu membabitkan 282 sekolah di negeri Perak.

Pengarah Pendidikan Negeri Rozi Puteh berkata, daripada jumlah itu, 36,435 adalah calon sekolah kerajaan, 2,667 persendirian.

"Calon terbabit menduduki SPM di 337 pusat peperiksaan yang dibuka di negeri ini dengan 2,649 petugas terdiri daripada penyelia kawasan, ketua pengawas dan pengawas peperiksaan," katanya selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, di sini.

Rozi berkata, daripada jumlah keseluruhan, lapan calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital.

Seramai 35,524 pelajar menduduki peperiksaan di 279 sekolah di Kedah.

Pengarah Pendidikan Negeri Datin Azuyah Hassan berkata, daripada jumlah itu, 30,336 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, termasuk Pusat Giat MARA (11,71), sekolah menengah agama negeri (335) dan sekolah swasta berdaftar berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, calon persendirian terdiri daripada 2,127 orang termasuk calon dari Sekolah Integriti Sungai Petani, manakala Sekolah Menengah Agama Rakyat seramai 1,166.

"Calon terbabit menduduki SPM di 279 pusat peperiksaan yang dibuka di negeri ini dengan 2,191 petugas terdiri daripada penyelia kawasan (62), ketua pengawas (290), timbalan ketua pengawas (290) dan pengawas peperiksaan (1,549)," katanya selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, di sini, hari ini.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan, seramai 84 pelajar adalah calon cacat, keperluan khas (50) dan calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital (13).

Di Melaka Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran,Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi,Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Datuk Md Yunos Husin berkata, daripada 14,500 calon SPM di 89 sekolah, 12,371 adalah calon A iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama(SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Asrama Bantuan Kerajaan (SABK).

Menurutnya, calon B iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seramai 730, calon D yang terdiri daripada calon swasta seramai 152 dan Calon E iaitu calon persendirian seramai 1,247.

"Kita juga mempunyai tujuh calon yang mengambil peperiksaan di Hospital Besar Melaka, Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin,"katanya.

Manakala, 21,235 pelajar di Terengganu menduduki peperiksaan SPM di 177 pusat peperiksaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Shafruddin Ali Hussin berkata, daripada jumlah calon itu, 66 orang didaftarkan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK).

Menurutnya, seramai 19,245 calon dari sekolah harian biasa, diikuti MRSM dengan 821 pelajar, sekolah agama negeri (79), sekolah swasta (34) dan persendirian (1,056).

Katanya, dua dari 177 pusat peperiksaan adalah di pusat tahanan di Sekolah Integriti, Penjara Marang dan Tunas Bakti Marang.

"Seramai 1,442 petugas termasuk penyelia kawasan dan ketua pengawas akan mengendalikan peperiksaan ini," katanya.

Di Kuala Pilah Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Kalsom Khalid berkata, daripada 17,978 caloncalon di 148 pusat peperiksaan, 17,061 calon dari sekolah kerajaan manakala 917 sekolah persendirian.

"Bagaimanapun, terdapat lapan calon terpaksa menduduki peperiksaan berasingan di hospital.

"Dua calon di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Sereman dan masing-masing satu di hospital Columbia Asia, Hospital Salam, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Hospital Tampin, Hospital Nilai dan Hospital KPJ.

"Seramai 1,302 orang petugas peperiksaan ditempatkan di 148 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Sekolah Memengah Tuanku Muhammad, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Daerah, Zainal Abidin Ahmad.

Sementara itu, seramai 1,426 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang turut menduduki peperiksaan itu hari ini.

"Ia membabitkan 1,417 calon di sekolah kerajaan manakala sembilan calon persendirian.

"Sebanyak 24 pusat peperiksaan dibuka membabitkan seramai 134 petugas," katanya.

Tambah Kalsom, seramai 4,668 calon persendirian memgambil peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) di seluruh negeri membabitan 37 pusat peperiksaan.

Di Kuching Pengarah Pendidikan Negeri Rakayah Madon berkata, daripada 36,366 di seluruh Sarawak, 33,446 adalah calon sekolah kerajaan, 803 sekolah menengah swasta dan persendirian (2,117).

"Calon terbabit menduduki SPM di 285 pusat peperiksaan membabitkan 202 penyelia kawasan dan 2,175 pengawas bagi memastikan kelancaran SPM dijalankan,"katanya dalam kenyataan di sini.

Rakayah berkata, tiada calon direkodkan yang menduduki SPM di hospital setakat ini.

"Bagaimanapun, saya mengingatkan semua calon membawa kad pengenalan atau kad perakuan serta slip kemasukan calon bagi menduduki SPM,"katanya.

Manakala, seramai 76,053 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini membabitkan 546 sekolah menengah di seluruh Selangor.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Zainuren Mohd Nor berkata, calon menduduki SPM membabitkan 205 penyelia kawasan dan 5,663 pengawas bagi memastikan kelancaran SPM dijalankan.

"Daripada jumlah keseluruhan pengawas ia membabitkan 546 ketua pengawas dan 546 timbalan ketua pengawas," katanya dalam satu kenyataan.

Zainuren berkata, seramai 240 Calon Berkeperluan Khas (CBK) dan tiada calon buta dilaporkan.

Katanya, peperiksaan bermula pada pagi ini berjalan lancar dan tiada masalah yang dilaporkan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 10:58 AM