THOMAS (tengah) menerima trofi daripada Najib (kanan) selepas menjuarai Kejohanan Klasik CIMB disaksikan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak di KLGCC, semalam.
Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain golf muda Amerika Syarikat, Justin Thomas terpaksa berhempas-pulas untuk merangkul trofi sulung pada Jelajah PGA AS sebelum muncul juara Klasik CIMB di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), semalam.

Thomas, 22, yang mendahului sejak hari kedua berjaya mengumpul 26 bawah par 262 walaupun dicabar hebat oleh tiga pemain lain termasuk rakan senegara Brendan Steele, Kevin Na dan bekas pemain nombor satu dunia dari Australia, Adam Scott.

Debaran dapat dirasai ketika penghujung saingan apabila Thomas yang turun dalam kelompok terakhir bersama Steel dan Na, harus mengatasi catatan 25 bawah par 263 yang dikumpul Adam Scott untuk mengelak playoff serta mengesahkan kejuaraan.

Bekas pelajar Universiti Alabama itu hampir terlepas untuk muncul juara apabila melakukan double bogey pada lubang ke-14, namun berkat kesabaran dia bangkit semula dengan membenam tiga birdie berturut-turut pada tiga lubang berikutnya.

“Saya tekankan kepada diri saya yang saya mengawal kejohanan ini dan perlu bangkit. Saya masih ada empat lubang dan perlu mencari birdie, saya bernasib baik dapat melakukannya,” katanya semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 7:12 AM