PRESIDEN Jokowi (kiri) meninjau terusan yang baru dibina untuk menghalang kebakaran tanah gambut di Pulau Pisang di timur Palangkaraya, Kalimantan Tengah kelmarin.

Pekanbaru: Pihak berkuasa di Riau melanjutkan status darurat akibat jerebu selama sebulan lagi selepas kebakaran hutan di wilayah itu masih belum padam sepenuhnya.

Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) memutuskan untuk melanjutkan status darurat kerana masih terdapat kebakaran hutan di Sumatera Selatan dan hujan jarang berlaku.

Pengerusi BPBD Riau, Edward Sanger keputusan itu diambil dalam satu mesyuarat dengan agensi terbabit Jumaat lalu.

“Semua agensi yang terbabit dalam operasi memadam kebakaran bersetuju untuk melanjutkan status darurat sehingga 30 November ini,” katanya.

Ujarnya, status darurat yang tamat semalam dilanjutkan kerana kemungkinan ada kebakaran hutan baru dan kebakaran di Sumatera Selatan masih belum padam sepenuhnya.

Sementara itu, empat lapangan terbang di Sumatera dan Kalimantan masih ditutup kelmarin akibat jerebu tebal yang masih menyelubungi sebahagian wilayah itu.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan berkata, pihaknya masih menutup Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badarudin II di Palembang, Lapangan Terbang Syamsudin Noor di Banjarmasin, Lapangan Terbang Sutan Thaha di Jambi dan Lapangan Terbang Gusti Syamsir Alam di Kota Baru, Kalimantan Selatan.

“Daripada 35 lapangan terbang yang terjejas akibat jerebu, empat masih lagi belum dibuka,” katanya.

Katanya, banyak penerbangan mula beroperasi di Kalimantan dan Sumatera selepas jarak penglihatan semakin baik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:04 AM